Miss Dior bukan sekadar haruman biasa-biasa. Kembaranya dalam dunia pembikinan haruman diiringi dengan pelbagai ciptaan sejarah luar biasa. Saat diperkenalkan saja ia sudah menjadi detik penting bagi rumah fesyen Christian Dior. Dan adalah wajar untuk EH! menamakannya sebagai Haruman Wanita Ikonik.
Diperkenalkan pada tahun 1947, Miss Dior adalah haruman pertama yang diperkenalkan oleh ikon fesyen dunia itu. Bagi Mr Christian Dior, Miss Dior terlahir dari inspirasi yang mahukan haruman yang melengkapkan rekaan couturenya. Dia mahu mencipta sebuah haruman yang muda jiwanya dan sekaligus melengkapi gejolak jiwa orang muda yang masih menerokai kemanisan dalam kehidupan.
Dan haruman ini pastinya sebuah haruman yang cukup peribadi baginya, jika tidak masakan Mr. Christian Dior mendedikasikan ciptaan haruman ini buat adiknya, Catherine Dior. Tambah ikonik bila mana Christian Dior memperkenalkan koleksi sedia pakai (RTW) Miss Dior pada tahun 1960-an.
Sejak mula diperkenalkan, Miss Dior telah diolah dalam pelbagai versi, ada yang diringankan baunya (Eau De Toilette), ada yang diberi sentuhan bunga-bungaan yang lebih ekstravaganza (Blooming Bouquet) dan yang terbaru Miss Dior Parfum yang diolah cukup sempurna oleh pakar haruman baru Dior, Francis Kurkdjian.
Nama Francis Kurkdjian tidaklah perlu diperkenalkan, dia maestro dalam bidangnya. Sudah banyak haruman ikonik diperkenalkannya dan bersama Miss Dior dia menyajikan sesuatu yang amat istimewa.
Objektif utama Francis Kurkdjian bila diminta mengolah dan ‘menggubah jambangan’ baharu Miss Dior ialah dia mahu membawakan mesej kepada generasi muda hari ini siapa Miss Dior dalam dunia haruman sewaktu ia mula-mula diperkenalkan. “Haruman ini juga membawa identiti unik yang mewakili personaliti Catherine Dior yang berkeyakinan dan kental jiwanya,” luahnya.
Miss Dior Parfum dijelmakan dalam nuansa yang lebih menusuk baunya, aroma yang kekal mengharum dari seterang-terang matahari hinggalah ke larut malam. Elemen feminin terhasil dari bau bunga-bungaan dan disenyawakan dengan percikan bau buahan. Francis Kurkdjian menggarap campuran kuntuman bunga melati atau jasmin sebagai bahan utama. Jasmin amatlah masyhur sebagai ramuan dalam pembuatan minyak wangi sejak kurun ke-16 lagi.
Francis menyatukan kelopak jasmin yang semerbak bersama patchouli dan bau kayu-kayan dari amber. Tambah istimewa, Francis menambah aroma strawberi di dalam haruman ini.
Jika anda sudah biasa dengan edisi Miss Dior sebelum ini, tiba masa untuk mendekati Miss Dior Parfum, aromanya lebih mewah menghidupkan jiwa feminin dan menyegarkan perasaan. Layari pautan INI untuk menyelurusi kesempurnaan haruman ikonik, Miss Dior.