“Di Chanel proses kerjanya tidak berhenti. Setiap bulan akan ada sample berbeza perlu diteliti. Biasanya dari Disember hingga Januari kami akan menerima banyak sampel bau-bauan sitrus dari Itali seperti bergamot, limau, lemon, Mandarin dan oren. Pada bulan Mac pula orange flower, dan Mei biasanya kami akan mendapat sampel bunga mawar. Oktober pula sarat dengan melati. Kalau mahu tahu kami bekerja untuk Chanel No. 5 hampir setiap minggu,” kongsi Olivier Polge saat saya bertemunya di Grasse penghujung tahun lalu. Melihatkan rutin kerjanya setiap hari saya percaya dia dianugerahkan dengan deria bau yang sangat luar biasa. Sedikit perubahan pada sample haruman yang diterima, dia boleh tahu.
Kata Olivier Polge mencipta ‘Gabrielle Chanel’ tidak mudah kerana aroma ini perlulah menggambarkan personaliti pengasas Chanel dengan tepat. Dan yang terbaru ini lebih mewah dengan tuberose. Olivier Polge pada asalnya cukup berminat dengan muzik klasikal malah menyambung pelajaran dalam bidang tersebut. Namun mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, kehebatan ayahnya dalam dunia haruman, Jacques Polge; individu yang bertanggungjawab mencipta minyak wangi ikonik Chanel seperti Allure, Coco Mademoiselle dan Chance. Ikuti tembual EH! bersama pereka haruman Chanel ini.
Apakah perubahan yang kamu bawa pada haruman baru ini berbanding yang asal?
Gabrielle Chanel Essence mengekalkan aroma asal namun ia tampil lebih ‘berkrim’. Nota atasnya disuntik kesegaran dengan sitrus yang membuatkannya lebih manis, beraroma buah-buahan dengan tambahan beri. Tuberose cukup menonjol dengan paduan bau vanila, musk dan kayu cendana. Baunya juga lebih sensual.
Bagaimana ‘jambangan’ bunga putih ini berkembang dari rekaan asal ke versi yang baru?
Dalam Gabrielle Chanel EDP, orange blossom menyuntik rasa segar, ylang-ylang pula lebih feminin, bunga melati dan tuberose mencetus karakter aroma yang berkrim. Dengan mengekalkan kombinasi ini Gabrielle Chanel Essence melebihkan karakter bau tuberose, membuatkan baunya lebih menyerlah. Tuberose memainkan peranan penting sebagai nota kunci kepada kepekatan bau haruman ini. Itu yang membuatkan tuberose dari Grasse begitu unik, eksklusif buat Chanel.
Bagaimana mahu memilih satu antara dua haruman ini?
Gabrielle Chanel EDP lebih ringan manakala Gabrielle Chanel Essence lebih pekat dan mewah.
Lima perkataan menghuraikan tentang Gabrille Chanel Essence
Floral, solar, voluptuous, velvety dan sensual.
Apakah karakter wanita yang kamu bayangkan menyembur haruman ini?
Walaupun ada sedikit cirri ‘pastel’ pada haruman ini, namun karakter bunga-bungaan putih yang digunakan kekal menyerlah. Haruman ini adalah untuk wanita yang berkeyakinan.