Oleh: Izzati Saadin
Gambar: TPGNews
Walaupun demam Harry Potter telah berlalu, namun nama Hermione Grenger tetap menjadi bualan hangat dek kerana panahan lakonan gadis genit ini.
Magis Emma Watson
Emma bukan sahaja mampu mencipta nama besar di dunia perfileman, malah beliau kini makin dikenali jenama-jenama besar dunia kecantikan dan fesyen. Tidak lama dahulu gadis berusia 22 tahun ini disunting Burberry dalam kempen iklan fesyen, malah sebelum Lily Collins, Emma juga pernah dilamar Lancome sebagai jurucakap antarabangsa mereka.
Tip cantik Emma Watson
- Sekiranya ada kesan comot kala memalit maskara, ambil satu bebola kapas dan celupkan sedikit bedak asas untuk memadamnya dan dalam masa yang sama ia mampu melitupi cela.
- Disebabkan rambut saya agak pendek sekarang, saya lebih selesa menggunakan cekak rambut. Antara kegemaran saya adalah cekak rambut halus berwarna hitam, mudah untuk saya gayakan ke mana-mana.
- Baru-baru ini ada jurusolek memakaikan penggaris bibir rona asli pada bibir saya dan saya amat menyukainya malah ia membuat bibir tampil sihat.
- Dahulu saya bukanlah jenis yang suka memakai gincu kerana bimbang saya akan mencomotkan penampilan. Namun kini gincu adalah keperluan bagi saya untuk menyuntik elemen segar pada wajah!
- Kalau anda tidak mahu jatuh sakit, pastikan anda mengambil makanan tambahan seperti Vitamin, ia sebenarnya dapat melindungi anda dari sebarang jangkitan.
Rahsia kekal cantik
“Berbuat baik, makan makanan yang bagus serta bersenam dapat membantu anda memperoleh penampilan yang baik. Saya selalu amalkan berjalan selama 40 minit, hanya dengar muzik dengan iPod saya kemudian berjalan, ia mampu membuat saya rasa sihat. Sekiranya saya penat, saya akan oleskan gincu dan cat kuku saya dengan rona ungu! Itu sudah cukup untuk mengembalikan mood yang baik!”