Bagi Daiyan Trisha semua orang perlu explore dan bereksperimen kerana dari situ kita akan belajar dan jumpa apa yang kita suka dan sesuai. EH! berbual tentang kecantikan bersama penyanyi, penulis lagu, pelakon dan juga pengacara jelita ini.
Jika ditanyakan siapakah selebriti generasi baharu yang cantik, saya secara peribadinya merasakan nama Daiyan Trisha harus ada dalam senarai. Malah saya pernah bertanyakan kepada seorang selebriti lelaki (saya tidak boleh sebutkan namanya di sini, tapi yang pasti selebriti lelaki ini kacak orangnya, ramai peminat), ‘Jika diberi peluang, siapakah selebriti wanita yang ingin digandingkan dengannya untuk sebarang penggambaran?’, balasnya pantas “Daiyan Trisha. Dia cantik sangat”. Saya berbicara soal cantik bersama Daiyan.
Masih ingat alat solek pertama yang Daiyan beli gunakan duit sendiri?
Eyeliner! Seingat saya waktu itu saya di tingkatan empat. Masa itu sedang trend eyeliner bawah mata, gaya budak emo. Tahu-tahulah era MySpace hahaha!
Bagi Daiyan, bedak asas yang bagus itu kriterianya bagaimana?
Bedak asas yang bagus ialah kemasannya yang tidak bercapuk dan formulanya boleh mengawal minyak di wajah. Teksturnya tidak tebal, terasa ringan pada kulit.
Yang mana lebih Daiyan suka, maskara atau bulu mata palsu?
Buat masa ini saya memang sukakan maskara, rasa lebih senang dan selesa. Bulu Mata palsu kadang-kadang buat mata tak rasa selesa, terasa berat.
Daiyan selalu menerima kosmetik daripada pelbagai jenama, sejujurnya Daiyan masih membeli alat solek hari ini? Atau guna apa yang masih ada di rumah?
Sekarang ini Daiyan banyak guna apa saja yang ada di rumah, dan goals saya ketika ini nak cuba habiskan apa yang ada sebab terlalu banyak. Tapi saya pilihlah apa yang sesuai, sebab ada yang tidak sesuai dengan kulit saya. Dan memang ada beberapa produk yang saya beli sendiri terutamanya yang saya suka. Ada satu gincu dan maskara ni memang favourite, jika habis saya akan beli sendiri.
Yang mana Daiyan sapukan dulu, concealer atau foundation?
Biasanya saya akan sapukan foundation ke seluruh wajah dengan rata, kemudian barulah saya sapukan concealer dan set kan solekan dengan bedak.
Jika Daiyan ada jenama kecantikan sendiri, apakah namanya?
Mungkin masih mengekalkan nama saya sendiri, Daiyan Trisha Beauty? Ha ha ha. Belum pernah fikir lagi tapi rasanya masih menggunakan nama saya.
Jika tiada apa-apa aktiviti, biasanya Daiyan mengeringkan rambut menggunakan pengering rambut atau biarkan rambut kering sendiri?
Jika di rumah dan tidak bekerja saya lebih senang biarkan rambut kering sendiri. Penggunaan pengering rambut selalu sebenarnya tak bagus sebab boleh membuat rambut menjadi kering.
Apakah alat solek yang sering ada di dalam beg tangan?
Dalam beg selalunya ada dua item iaitu bedak kompak dan lip balm. Kedua-duanya wajib ada!
Kongsikan cara Daiyan bersihkan solekan?
Biasanya saya akan bersihkan wajah dengan micella water dalam dua ke tiga kali sebelum saya menggunakan pencuci muka. Jika solekan saya ada menggunakan produk yang kalis air (waterproof), saya akan gunakan pencuci berasaskan minyak, misalnya mencuci maskara yang kalis air, Jika tidak dicuci betul-betul akan membuatkan mata berasa tak selesa.
Apa falsafah cantik Daiyan?
Falsafah kecantikan bagi saya mudah, apa sahaja penampilan atau gaya yang kita pilih membuatkan kita selesa dan yakin. Setiap orang ada pilihan dan preference masing-masing, ada yang suka mekap tebal, mekap nipis, gaya solekan Korea dan ada juga yang suka gaya Amerika. Tak salah untuk cuba semua sehingga kita jumpa apa yang sesuai. Saya sendiri dah cuba bermacam-macam gaya solekan, dan dari situ kita bereksperimen dan belajar, lama-lama kita akan tahu apa yang kita suka, yang sesuai dan apa yang selesa. Bila kita selesa, kita sendiri akan rasa lebih yakin dan bila yakin personaliti kita akan lebih terserlah. Apa yang penting, stay true to yourself.
Artikel Berkaitan: 4 PERKARA MESTI BUAT UNTUK AGE GRACEFULLY