Rihanna mahu penggunanya punya gincu ikonik sendiri menerusi Fenty Icon, seikonik dirinya.
“Lipstick is the instant game changer,” itu kata Rihanna. Bagi pelantun pelbagai ritma popular seperti ‘Umbrella’ dan ‘Work’ ini, gincu punya keupayaan merubah mood keseluruhan penampilannya.
Berinspirasikan daripada kuasa sebatang gincu itulah Rihanna yang kini sedang sarat hamil melancarkan 10 warna gincu buat himpunan Fenty Icon. Pilihan ton gincu ini diwarnai ton semula jadi dan juga barisan warna merah nan cukup memberahi. “Teksturnya berkrim dan sangat selesa dicalitkan pada bibir,” tambah Rihanna.
Menurut Rihanna, Fenty Icon MVP adalah warna merah yang sesuai untuk semua jenis ton kulit. Baginya warna itu sangat universal dan pasukan Fenty Beauty mengambil masa yang lama untuk mencipta satu warna yang berpadanan dengan semua ton kulit. “Selepas mencuba pelbagai ton ke atas pelbagai ton kulit selama setahun, akhirnya kami menemui satu ton yang sangat sempurna untuk semua orang.”
Fenty Icon Refillable Lipstick bertekstur separa pusam yang hadir dengan isian semula, pigmennya tinggi. Setiap sapuan membuat bibir terasa selesa dan calitannya mencipta biasan warna yang tampak eksklusif. Pilihan warnanya mendefinisi tiap mood gaya yang ingin kamu pertontonkan.
GINCU ITU AKSESORI
Idea di sebalik penciptaan isian semula, menurut Rihanna dia mahu setiap wanita menjadikan Fenty Icon ini sebagais atu aksesori wajib ada di dalam tas tangan, ia bukan sekadar gincu. Dia mahu tiap wanita yang memilih untuk mencalit Fenty Icon mahu terus setia dengan gincu kesukaan mereka. “Pilih warna kesukaan kamu, pilih bekasnya dan cipta gincu ikonik kamu sendiri,” ujarnya.
Rihanna mengambil masa untuk mencipta himpunan ini, kerana dia mahu menawarkan gincu yang sesuai dengan semua ton kulit. Dia mahu setiap orang menemui warna ikonik mereka daripada koleksi ini.
Gincu ini punya aroma pic bercampur vanila dan disempurnakan dengan formula istimewa yang menemukan asid hyaluronik untuk melembap dan membuatkan bibir lebih mungil. Fenty Icon juga mengandungi cvitamin C dan E, asid amino untuk bibir yang kekal terpelihara dan mencipta tekstur gincu yang moden.
Dapatkan gincu ikonik kamu di Sephora (juga terdapat secara dalam talian di sephora.com) pada harga RM120 untuk gincu isian semula dan RM60 untuk bekasnya.
Baca: #SuperBowl Ini 5 Item Solekan Yang Mary J. Blige Gunakan