Hanya mereka yang benar-benar memahami dunia haruman tahu bahawa minyak wangi sebenarnya ialah satu ciptaan yang hidup. Haruman bagaikan permata berharga yang perlu dijaga agar kekal indah untuk jangka masa panjang.
Walaupun penciptanya boleh menulis formula sesebuah wangian di atas kertas dan disimpan di dalam arkib atau didokumentasikan, bahan-bahan yang digunakan pula sentiasa berubah. Kondisi bahanya boleh berubah-ubah, bergantung pada hasil tuaian, mahupun sumber bahan mentahnya. Perubahan ini boleh dipengaruhi oleh tempat sesuatu bahan itu dihasilkan.
Apabila pembekal bertukar, atau sesuatu molekul perlu digantikan kerana perubahan undang-undang, sedikit perubahan pada formula boleh berlaku. Perubahannya mungkin sangat halus, tetapi dari masa ke masa, ia boleh mengubah karakter sesebuah wangian dan mengalihkan keseimbangan nota-notanya.
Oleh kerana itu Francis Kurkdjian memilih untuk mengembalikan semula sinaran, warna dan keaslian asal 13 wangian Dior yang telah mencipta sejarah Maison ini selama hampir 80 tahun.
Hasilnya ialah satu koleksi luar biasa yang menghimpunkan karya-karya agung dalam dunia pembuatan haruman, dari formula yang mewah, berani dan penuh karakter.
“Untuk menghidupkan semula ‘landskap’ sesebuah wangian agung Dior dalam segala keindahan asalnya, saya berusaha mendapatkan kembali formula asalnya dan memulihkan keharmonian sempurna setiap komposisi.”Francis Kurkdjian.
Haruman-haruman ikonik ini kini telah menjadi sebahagian daripada sejarah dunia perfumery. Malah, ia menjadi seperti satu sumber rujukan buat para pelajar pembuat minyak wangi mengkaji formula dan belajar daripada karya para maestro terdahulu.
Mengapa mengambil masa begitu lama untuk memelihara karya agung ini?
Pertama sekali, dunia wangian perlu menunggu sehingga warisan olfaktori atau warisan melalui deria bau, dilihat, sekurang-kurangnya dari sudut intelektual, sebagai satu bentuk warisan seni.
Warisan ini bukan sekadar perlu dipelihara, tetapi juga memerlukan kreativiti, kajian berterusan, teknik dan kepakaran tertentu.
Dalam lautan perubahan ini, antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh para pembuat haruman ialah toksikologi dan piawaian regulatori. Produk wangian perlu memenuhi standard yang sangat tinggi: selamat untuk kesihatan manusia, mematuhi etika CSR IFRA (International Fragrance Association), serta mematuhi pelbagai piawaian antarabangsa lain termasuk yang ditetapkan di Korea, Kanada dan Amerika Syarikat.
Gerakan ke arah penyeragaman ini bermula sejak tahun 1970-an. Sejak itu, senarai bahan yang dilarang terus berubah dan berkembang secara berperingkat demi memastikan keselamatan manusia dan alam sekitar.
Namun, kesan perubahan ini tidak semestinya dapat dilihat dengan jelas. Sedikit demi sedikit, perubahan kecil berlaku pada formula, kadangkala hampir mustahil untuk disedari, sehingga akhirnya terkumpul selepas bertahun-tahun.
Francis Kurkdjian benar-benar memahami cabaran ini.
Selepas menyertai Maison Dior, beliau menyedari bahawa beberapa wangian ikonik ini telah melalui satu bentuk “hakisan” yang unik kepada dunia perfumery.
Pembekal bahan mentah boleh hilang pada bila-bila masa. Pembekal antarabangsa mungkin tidak lagi mampu membekalkan bahan yang sama. Dan yang paling penting, perfumer asal yang telah meninggal dunia tidak lagi berada di sini untuk memastikan integriti formula ciptaan mereka terus terpelihara.
Maka, satu misi baharu menjadi semakin penting:
“Memelihara karya agung yang terancam.”
PROJEK DIORIGINALS
Hasil daripada perjalanan yang masih berterusan ini ialah projek “Dioriginals”.
Diketuai oleh Francis Kurkdjian bersama studionya serta pasukan kreatif Maison Dior, projek ini memberi tumpuan kepada 13 wangian ikonik Dior — daripada karya klasik agung Edmond Roudnitska sehinggalah kepada ciptaan yang lebih moden.
Bersama Dior Perfume Creative Studio, beliau mengambil masa dengan penuh sabar dan hormat untuk memulihkan setiap satu daripada komposisi ini, dengan satu matlamat: mengembalikan semula kilauan asalnya.
“Sebuah minyak wangi harus dihargai dan dipelihara seperti karya seni yang rapuh, yang sentiasa terdedah kepada perubahan masa. Sama seperti kilauan dan warna sebuah lukisan boleh dipulihkan, kualiti, sinar dan nuansa bahan mentah dalam sesebuah haruman juga perlu dipelihara.
Ini memerlukan perhatian yang sangat teliti dalam mendapatkan bahan mentah, serta memastikan undang-undang yang mengehadkan atau melarang penggunaan bahan tertentu tidak mengubah keseimbangan sesuatu komposisi.”
13 HARUMAN IKONIK ‘DIORIGINALS’
DIORAMA
Pereka Haruman: Edmond Roudnitska
Tahun: 1949
“Diorama tidak seperti mana-mana haruman lain yang wujud sehingga hari ini. Jika Miss Dior adalah haruman tentang impian dan kepolosan masa muda, Diorama pula adalah haruman yang menggambarkan pengalaman dan kematangan. Ia adalah haruman untuk wanita berkarakter yang menyerlahkan pesona dan personalitinya dengan cara yang halus, sambil menonjolkan keanggunan semula jadi serta sofistikasi yang terbentuk daripada pengalaman hidupnya.”- petikan surat bertarikh 28 September 1951 yang dihantar kepada Madame de Biegille of Femina Pratique.
EAU FRAÎCHE
Pereka Haruman: Edmond Roudnitska
Tahun: 1955
“Saya mencipta Eau Fraîche yang dilancarkan oleh Dior pada tahun 1955. Ia merupakan antara haruman yang jarang ditemui, malah mungkin satu-satunya, yang masih mengekalkan ciri Chypre sehingga hari ini. Walaupun tampil secara bersahaja, Eau Fraîche by Dior mempunyai peminat setia yang terus menggemarinya dan mengekalkan kehadirannya selama bertahun-tahun.”- Edmond Roudnitska
DIORISSIMO
Pereka Haruman: Edmond Roudnitska
Tahun: 1956
“Saya mencipta Diorissimo dengan pendekatan yang lebih teliti serta struktur formulasi yang belum pernah digunakan pada ketika itu. Sudah tentu, Christian Dior sangat teruja dengan pelancaran ini. Beliau sendiri mereka bentuk botol serta penutup berbentuk jambangan bunga bersalut emas. Saya rasa saya lebih gembira untuknya berbanding diri sendiri.”- Edmond Roudnitska
DIORLING
Pereka Haruman: Paul Vacher
Tahun: 1963
“Seorang pemuzik boleh memadam satu not, seorang penulis boleh memadam satu ayat, manakala pelukis boleh menutup bahagian lukisan yang tidak sempurna. Tetapi apabila anda tidak berpuas hati dengan sesuatu campuran haruman, tiada cara untuk membetulkannya, anda perlu bermula semula dari awal. (…) Lebih atau kurang hanya satu miligram dalam setiap formulasi pun boleh menentukan sama ada hasilnya berjaya atau gagal.”- Paul Vacher
DIORELLA
Pereka Haruman: Edmond Roudnitska
Tahun: 1972
“Saya mahu Diorella terasa lebih seperti sebuah haruman berbanding Eau Sauvage, namun pada masa yang sama masih mengekalkan karakter seorang wanita yang sangat muda. Sebab itu saya begitu menyukai lukisan indah Gruau yang menggambarkan seorang wanita muda ditiup angin, diinspirasikan oleh Diorella.”- Edmond Roudnitska
DIORESSENCE
Pereka Haruman: Max Gavarry
Tahun: 1979
“Pada asalnya, Dioressence merupakan pati mandian yang dicipta pada tahun 1969 oleh perfumer Guy Robert. Kemudian, saya mencipta eau de toilette dengan mengeluarkan nota animalic dan indolic* daripada komposisi berasaskan minyak tersebut. Hari ini, saya sangat gembira melihat usaha mengembalikan semula haruman ini, yang kini menampilkan karakter yang lebih jernih dan segar.”- Max Gavarry
JULES
Pereka Haruman: Jean Martel
Tahun: 1980
“Ayah saya mencipta Jules dengan semangat berani yang menjadi identiti haruman Dior. Ketika dilancarkan, ia tampil berbeza dalam dunia haruman lelaki yang ketika itu banyak didominasi nota kayu, dengan karakter animalic dan sentuhan kulit yang begitu menyerlah. Ia sesuatu yang berani dan mencetuskan pelbagai reaksi. Anda sama ada menyukai Jules atau membencinya — tiada ruang untuk rasa biasa-biasa. Hari ini, selepas dikembalikan kepada karakter asalnya, saya dapat merasai sepenuhnya kedalaman asas amber dan kayunya, dengan patchouli yang begitu menonjol, disokong oleh cedar, vetiver dan sandalwood. Saya pasti ayah saya akan menghargai penghormatan ini kepada zaman kanak-kanaknya di Provence.”- Roseline Poignon-Martel, anak perempuan Jean Martel
DUNE
Pereka Haruman: Jean-Louis Sieuzac dan Dominique Ropion
Tahun: 1991
“Sungguh luar biasa melihat pancaran cahaya keemasan dan keperakan berkilauan di langit yang cerah, di tengah-tengah malam yang dilanda ribut. Beberapa minit yang begitu mempesonakan itu seakan-akan membawa saya kembali kepada kenangan zaman kanak-kanak.”- Isabelle Adjani, duta Dune
DOLCE VITA
Pereka Haruman: Pierre Bourdon
Tahun: 1995
“Saya diminta membayangkan sebuah haruman yang lembut dan penuh kehangatan… Jadi, saya mencipta Dolce Vita, di mana nota floral dan kayu bertemu dalam sebuah haruman yang mempunyai struktur yang kuat. Ia dibentuk daripada elemen-elemen besar yang saling bertentangan, namun pada masa yang sama tetap berinteraksi antara satu sama lain.”
“Rempah ratus yang sensual, nota kayu yang mewah dan buah-buahan yang berwarna-warni menghasilkan sebuah komposisi yang seakan-akan mempunyai pelbagai melodi, dengan setiap elemen menyerlahkan karakter elemen di sebelahnya.”- Pierre Bourdon
DUNE POUR HOMME
Pereka Haruman: Olivier Cresp
Tahun: 1997
“Dune Homme menyerlahkan haruman yang diinspirasikan oleh angin dan kesegaran. Ia bukan variasi daripada haruman wanita dengan nama yang sama, sebaliknya berkongsi sentuhan inspirasi marin yang diterjemahkan melalui formulasi yang ringkas dan kemas.”- Olivier Cresp
HIGHER
Pereka Haruman: Olivier Gillotin dan Olivier Pescheux †
Tahun: 2001
“Kami mencipta haruman seperti kita menulis muzik. (…) Apabila saya mengimbas kembali idea dan arahan yang diberikan pada peringkat awal, ia merangkumi elemen seperti ketinggian, tenaga dan momentum.”- Olivier Pescheux:
“Sebuah haruman adalah karya seni yang memerlukan keharmonian untuk tercipta dalam ruang dan masa tertentu.”- Olivier Gillotin
FOREVER AND EVER
Pereka Haruman: Jean-Pierre Béthouart
Tahun: 2002
“Saya mencipta haruman ini dengan idea untuk menyerlahkan keindahan alam semula jadi musim bunga yang segar dan dipenuhi bunga. Sebelum dikenali sebagai Dior Forever, nama kodnya ialah ‘Subtle Eglantine’.”- Jean-Pierre Béthouart
HIGHER ENERGY
Pereka Haruman: Nathalie Gracia-Cetto dan Carlos Viñals
Tahun: 2003
“Idea utama Higher Energy adalah untuk menerjemahkan cahaya sebuah kota, malam yang penuh tenaga, diterangi cahaya neon.”- Nathalie Gracia-Cetto
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga Pilihan Reben Untuk Miss Dior Eau De Parfum Baharu

















