Tahun ini Chanel mahu melakar sejarah baharu buat harumannya. Mereka mahu ‘mencipta’ satu nama signature, botol dan aroma baharu. Chanel mahu berkongsi mesej keberanian dan mesej itu mahu disampaikan menerusi sebotol haruman yang dinamakan Gabrielle Chanel.
Seperti disebut tadi, Gabrielle Chanel adalah haruman untuk wanita yang yakin dengan keputusan dan pilihan diri mereka sendiri. Haruman Gabrielle Chanel mengajak semua wanita menyubur kepercayaan kepada diri sendiri bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja yang mereka mahukan, mengikut suara hati dan tidak mudah goyah.
Mesejnya mudah, Chanel mahu kita menentukan hala tuju hidup kita sendiri, memilih jalan yang kita mahukan, bukannya berpandukan pada kehendak orang lain. Semuanya dibikin atas pilihan diri sendiri. Malah orang Chanel mengakui Gabrielle adalah haruman tepat menterjemahkan karekter diri Gabrielle Chanel.
Mewah Bunga Putih
Haruman yang dicipta oleh pakar haruman terkenal, Olivier Polge bersama-sama Chanel Fragrance Creation and Development Laboratory menggabungkan empat bunga utama iaitu bunga melur (jasmine), ylang-ylang, tuberose dan juga orange blossom.
Keempat-empat bunga ini disatukan dengan beberapa bahan lain untuk memastikan baunya lebih menyerlah. Chanel memekatkan lagi bau melur yang diramu dalam haruman ini, dan mereka menyuntik musk untuk memewahkan lagi bau ylang-ylang. Malah untuk haruman ini Chanel memercikkan lagi kesegaran orange blossom dengan menambah kulit mandarin (limau), anggur dan sedikit vlackcurrant sebagai rencah tambahan. Olivier juga mengahwinkan tuberose yang dipetik dari ladang di Grasse dengan kayu cendana.
Hasilnya? Sebuah haruman yang sarat dengan aroma bunga-bungaan, berpercikkan elemen mewah, tidak mencucuk deria bau seperti sesetengah haruman dan ia masih lagi sajak disembur generasi milenial.
Quotes
“Saya dedikasikan haruman ini untuk semua wanita yang menyukai bunga-bungaan putih.”- Olivier Polge, Pakar Haruman Chanel yang mencipta Gabrielle Chanel.