Solekan minimalis pasti jadi pilihan tahun ini. Dengan hanya solekan nipis, kejelitaan wajah masih terselah. Tanyalah mana-mana jejaka, pasti mereka memilih gadis yang kelihatan natural! Ayuh ikuti gaya solekan trend 2012 bersama EH!
Solekan nude:
Tatarias solekan nude menggambarkan ekspresi segar pada wajah dan secara tidak langsung menyerlahkan kecantikan natural bagi seorang wanita. Mahupun begitu, amat penting untuk memilih bedak asas yang sesuai dengan rona kulit. Sembunyikan cela atau lingkaran gelap dengan menggunakan penyamar noda. Sebagai pelengkap wajah, gunakan pelentik bulu mata dan gincu berwarna lembut. Ya, hanya itu saja! Less is more!
Solekan glam:
Untuk kelihatan glam tidak semestinya perlu mengenakan solekan secara berlebihan. Apa yang penting adalah mempunyai bibir merah bak primadona Marily Monroe, ditambah pula calitan garisan cat eyeliner pada mata. Sudah pasti aura glam terserlah pada wajah! Walaupun proses solekan tampak ringkas, dengan hanya olesan gincu merah di bibir, ia pasti dapat memberi perubahan drastic pada solekan!
Solekan manja:
Sedap mata memandang pabila wajah tampak manis dan ceria dengan layangan rona-rona lembut. Pipi dilayangkan dengan nuansa merah samar menghasilkan senyuman manis menghiasi wajah mulus. Dipadankan pula dengan olesan rona fuschia di bibir serta pembayang mata berona lembut. Segala-galanya cukup untuk memberikan suntikan manja!