Malam Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bukan sahaja menjadi pentas untuk meraikan karya dan pencapaian bintang muzik tempatan, malah turut menyaksikan deretan selebriti hadir dengan gaya masing-masing di karpet merah.
Daripada solekan soft glam yang menyerlahkan seri wajah, kemasan kulit yang glowing hinggalah permainan warna pada mata, setiap penampilan hadir dengan sentuhan tersendiri. Di sebalik beauty look yang cukup memukau, pastinya ada tangan kreatif jurusolek dan hairstylist tempatan yang menyempurnakan keseluruhan gaya. Ini antara solekan selebriti di AIM25 yang mencuri perhatian kami.
1. Aisha Retno
Malam AIM25 pastinya menjadi antara detik manis buat Aisha Retno selepas penyanyi itu membawa pulang tiga trofi termasuk Album Terbaik menerusi RE.HAB. Selari dengan kejayaan tersebut, Aisha tampil dalam gaya glamor dengan sentuhan solekan oleh Gebriel Pandan. Bahagian mata menjadi antara fokus utama menerusi pembayang mata rona coklat berkilau, winged eyeliner serta bulu mata yang lentik. Kulit pula dikemaskan dengan kemasan glowy dan sapuan blush lembut, manakala bibir rona nude kecoklatan berkilat melengkapkan look Aishapada malam itu.

2. Wany Hasrita
Wany Hasrita memilih look yang lebih lembut yang menyerlahkan sisi feminin dan elegannya. Penampilannya untuk AIM25 disempurnakan menerusi sentuhan Zati Lafi. Pada bahagian mata, pembayang mata rona coklat lembut dipadankan dengan eyeliner nipis dan bulu mata lentik untuk memberikan definisi tanpa membuatkan solekan kelihatan terlalu berat. Kemasan kulit pula kekal dewy dan natural, diserikan dengan blush rona merah jambu lembut. Sentuhan akhir hadir menerusi bibir rosy nude berkilat, menjadikan look Wany kelihatan segar, manis dan sofistikated.

3. Liza Hanim
Liza Hanim membawa aura elegan yang cukup sinonim dengan dirinya. Untuk malam berprestij itu, penampilannya disempurnakan oleh Alisya Zaquan dengan solekan yang menonjolkan kecantikan semula jadi penyanyi berpengalaman itu. Tidak terlalu sarat, beauty look Liza mengekalkan keseimbangan antara kemasan yang kemas dan sentuhan glamor, sekali gus melengkapkan auranya di karpet merah AIM25.

4. Azeva
Tampil lembut dan romantik menerusi sentuhan Bosco Ryzal, bahagian mata menjadi antara tarikan utama dengan pembayang mata rona lembut serta sedikit kilauan keperakan di sudut dalam mata. Winged eyeliner yang tajam dan bulu mata lentik pula memberikan definisi pada mata tanpa menenggelamkan keseluruhan solekan. Untuk kulit, Azeva memilih kemasan yang glowing dan segar, diserikan dengan blush rona merah jambu. Bibir rosy pink berkilat menjadi pelengkap gayanya pada malam itu.

5. Iman Troye
Tampil lebih segar, youthful dan feminin. Sentuhan Mell Amilia menghasilkan solekan bernuansa merah jambu yang cukup serasi dengan penampilan Iman Troye. Pembayang mata rona pink lembut, eyeliner dan bulu mata lentik memberikan definisi pada bahagian mata, manakala blush merah jambu yang lebih menyerlah menambahkan seri pada wajah. Kulit dikekalkan dengan kemasan glowing, sementara bibir pink lembut berkilat melengkapkan penampilan serba merah jambu Iman.

6. Scha Alyahya
Scha Alyahya sememangnya tidak asing dengan penampilan glamor dan untuk AIM25, selebriti itu sekali lagi tampil dengan look yang cukup mencuri perhatian menerusi sentuhan Khir Khalid. Kali ini, warna menjadi permainan utama apabila pembayang mata biru dipilih sebagai fokus. Sapuan eyeshadow biru memenuhi kelopak mata dan dibawa hingga ke bahagian bawah mata, menghasilkan statement eye look yang moden dan berani.

7. MimiFly
Malam AIM25 pastinya menjadi antara malam paling bermakna buat MimiFly selepas penyanyi dan komposer itu membawa pulang lima trofi, sekali gus menjadi antara penerima anugerah paling banyak pada malam tersebut. Bukan sahaja pencapaiannya menjadi perhatian, penampilannya turut dilengkapkan dengan sentuhan solekan oleh Helmy Sarip. Dengan gaya yang cukup glamor untuk malam penuh kemenangan itu, MimiFly berjaya membawa aura tersendiri di karpet merah.

8. Daiyan Trisha
Anggun dalam busana kebaya Teh Firdaus, Daiyan Trisha tampil dengan look yang melengkapkan sisi elegan penampilannya di AIM25. Solekan dan rambutnya disempurnakan oleh May Woo, yang sememangnya tidak asing dalam kalangan selebriti tempatan. Sentuhan kemas pada solekan dan dandanan rambut menjadikan keseluruhan penampilan Daiyan kelihatan cukup polished tanpa mencuri perhatian daripada busana yang digayakannya.

9. Marsha Milan
Buat Marsha Milan, AIM25 hadir dengan momen cukup istimewa selepas penyanyi itu membawa pulang trofi pertamanya menerusi kategori Lagu Etnik Terbaik untuk Pelangi Pasti. Untuk malam penuh bermakna itu, Marsha tampil glamor dengan solekan oleh Adikzwan, manakala rambutnya disempurnakan oleh Shasya Balqisya. Gabungan solekan dan dandanan rambut yang kemas melengkapkan penampilan Marsha, sesuai dengan detik penting yang diraikannya di pentas AIM25.

Artikel Berkaitan: Selain Datuk Sri Siti Nurhaliza, Ini Penyanyi Yang Pernah Memenangi Vokal Terbaik di AIM
