Aesop melancarkan haruman terbarunya, Gloam, dan EH! berbesar hari diberi ruang menemubual individu penting yang mereka haruman penuh misteri ini. Ikuti temubual #EHksklusif EH! bersama Barnabè Fillion.
Perkataan ‘Gloam’ membawa maksud (twilight), boleh kongsikan jika ada sebarang faktor nama ini dipilih?
Gloam Eau de Parfum berkaitan tentang saat kita berbaring, saat kita beristirahat dan mungkin dalam keadaan leka, tidak lena namun kita bermimpi, berfikir dan mendalami dalam cara berbeza. Dan haruman sebenarnya adalah sebahagian daripada ransangan imaginasi yang membawa kita ke pemikiran bersifat horizontal. Imaginasi dan mainan minda ini diperindah menerusi bunga-bungaan, rempah-ratus, aroma bedak untuk merangsang pancaindera dan minda. ‘Gloam’ dipilih kerana ia adalah simbolik kepada transisi di antara dunia yang nyata dan mimpi.
Apakah yang menjadi inspirasi kamu sewaktu menghasilkan haruman ini?
Sewaktu proses kreatif, katil (divan) dan katil kapal (bed boat) adalah rujukan penting, dan Gloam memang berkisar tentang objek ini, dan bertindak sebagai perantara antara dunia nyata dan imaginasi, titik kembara dan eksplorasi, malakar keintiman minda dan menyelusuri perjalanannya. Aromanya berpercik sedikit bedak, apak, berempah pada baunya hasil adunan lada merah jambu dan kunyit.
Dengan berbaring ilham yang kamu lahirkan mencipta dasar dan ruang sekaligus memberi keutamaan kepada minda. Apabila kita berdiri mahupun duduk tegak, kita dapat rasakan kesan graviti menambah berat kepada bahu. Berbeza bila berbaring, kita terasa lebih ringan termasuklah pada rohaninya, ia memberi ruang untuk kita lebih peka, sama seperti kita berehat mahupun lena, kita perlu baring, tubuh menjauhi graviti dan membantu minda untuk lebih terbuka.
“Katil (divan) dan katil kapal (bed boat) adalah rujukan penting, dan Gloam memang berkisar tentang objek ini, dan bertindak sebagai perantara antara dunia nyata dan imaginasi,” Barnabè Fillion.
Komposisi haruman ini terdiri dari bunga-bungaan, rempah dan bahan hijau. Bagaimana haruman ini boleh mesra dengan pemakai semburan ini di cuaca panas-lembap seperti di Malaysia?
Gloam akan berlegar indah di udara dengan cuaca seperti Malaysia walaupun nota-nota haruman ini baunya pelbagai mengikut kulit pemakai lantas menjadikan keperibadian haruman ini lebih variasi.
Nota atasnya menebarkan Orange Flower. Ada lada merah jambu yang pada saya membuatkan haruman ini punya sentuhan klasik. Ia merangsang hidung, dan cardamon membuat haruman ini sedikit ‘pedas’. Haruman ini lebih didominasi bau hijau dan segar lebih-lebih lagi kami menggunakan pengekstrakan CO2.
Selepas beberapa ketika, nota tengah haruman ini akan berkembang, yang mana kami menggabungkan rempah seperti kunyit dan bunga melati (jasmine sambac) yang mana membuatkan haruman ini lebih mewah dan hangat. Mimosa membuat haruman ini lebih menarik dan penuh dengan imaginasi. Ia membuatkan haruman ini punya elemen flora bersama kuntuman iris.
Haruman ini didasari dengan nota haruman seperti patchouli, copaiba. Secara keseluruhannya apa yang bolehs aya simpulkan bayangan tentang ruang katil dan hiasannya seperti fabrik cadar adalah atmosfera penting dalam mencurah inspirasi Gloam.
Apakah proses kreatif menyempurnakan Gloam yang paling diingati?
Saya sangat seronok menganalisa nota-nota haruman yang digunakan di dalam minyak wangi era Victoria, menyanjungi bahan-bahan yang digunakan saat awal minyak dihasilkan yang ratanya bersifat hangat, mewah dan ‘pedas’ sekaligus menyimpulkan karakter haruman era tersebut. Kami cuba menyeimbangkan antara nota-nota haruman yang popular di era itu dan menggabungkannya dengan sesuatu yang lebih elegean, ringan dan bersih.
Adalah satu cabaran untuk menghasilkan sesuatu yang tidak terlalu vintaj, kami mahu suntikan unsur moden dan kerana itulah kami percikan lada merah jambu, cardamon, neroli dan orange flower. Ekstrak mimosa dan iris membuat haruman ini lebih kontemporari. Kami tidak mahu Gloam terlalu berat atau kompak dan juga tidak mahu bersifat retro.
Bagaimana kamu mencari sudut paling sunyi dan apakah rasa tentang introspektif yakni mencari diri? Apakah sesuatu yang kamu pelajari tentang diri sendiri?
Bahagian paling penting dalam proses kreatif ialah memakai haruman yang sedang saya usahakan pada fabrik yang berbeza-beza dan pada waktu yang tertentu. Saya sedar bahawa Gloam adalah sebuah haruman yang sesuai untuk lewat petang dan malam. Ada sesuatu yang nostalgik tentang Gloam jadi haruman ini sesuai disembur pada waktu yang mungkin sentimental agar anda larut dalam memori. Saya lebih suka melakukan ini (bernostalgia) pada waktu lewat petang kerana saya punya lebih banyak masa.
Bagaimana kamu mahu perkenalkan haruman Aesop kepada seseorang yang baru mahu mengenali Aesop?
Haruman-haruman Aesop memang dicipta untuk dikenali dan didekati, ia dicipta untuk kita menerokai aromanya. Kulit adalah kanvasnya. Bagi Aesop, haruman adalah kulit kedua. Ia adalah kembara untuk mengenali diri. Ia juga tidak terhad kepada mana-mana jantina, Aesop lebih menjurus kepada keseronokan dan kegembiraan pemakainya.
Aesop Gloam sudah mula berada di butik Aesop seluruh negara dan boleh juga dimiliki secara dalam talian di SINI!
BACA: ‘Perfect As I Am’, Mesej Self-Love Dari Sebotol Perfect Marc Jacobs