Tiga figura ini meluahkan momen ‘My Ultimate BOSS’ dalam meraikan kembara kehidupan mereka bersama haruman ikonik BOSS Bottled Parfum.
Bertambah usia bertambah matang (itulah yang seharusnya), dan perubahan angka itu jugalah yang membuatkan haruman ini bertambah matang. Seiring dengan usia haruman ini yang sudah mencecah 24 tahun.
Di era baharu ini, BOSS mahu membuka langkah lebih besar lagi dalam menjelajah dunia harumannya menerusi perkenalan dengan BOSS Bottled Parfum. Visi utama haruman ini adalah untuk membina keyakinan dan keberanian yang optimum dalam setiap individu. Di sebalik jiwa maskulin yang penuh ‘kejantanan’, haruman ini sebenarnya mahu pemakainya meletakkan diri mereka sebagai seorang ketua, yang yakin menentukan hala tuju hidup mereka. ‘Be Your Own Boss’ itu impak yang mahu BOSS tinggalkan dalam jiwa penyemburnya.
Annick Ménardo dan Suzy Le Helley adalah dua figura tersohor dalam dunia pembuatan minyak wangi yang bergabung buah fikir sehingga lahirnya haruman ini. Kedua-duanya mengolah haruman ikonik ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Meraikan kedatangan BOSS Bottled Parfum, EH! mengundang tiga figura berbeza personaliti dan lapangan untuk berkongsi serba ringkas apa yang membuatkan mereka terus melangkah ke hadapan. Hael Husaini bukanlah satu nama asing, kredibilitinya sebagai penyanyi dan penulis lagu tidak boleh dinafikan. Dia sendiri sudah menggondol pelbagai anugerah di acara-acara besar seperti Anugerah Juara Lagu misalnya.
Eyka Farhana pula memulakan langkah ke dalam bidang lakonan sejak usianya masih belasan lagi. Percaturannya di dalam bidan seni dilihat semakin menjadi berpandukan tawaran demi tawaran yang datang. Nalisa Alia Amin pula membuktikan apa jua bentuk fizikal kita, jika ada keberanian semuanya boleh dicapai. Keterbukaan dunia peragaan juga menjadi satu faktor kejayaannya di dalam bidang peragaan, dan keterbukaan ini juga berpunca daripada keberanian individu sepertinya juga.
“My ultimate BOSS bagi saya adalah berkaitan dengan diri saya sendiri. Ibarat kanvas kosong dan hanya saya yang melakarnya dengan sempurna. Seperti perjalanan karier saya sebagai penyanyi, ada cabaran yang perlu saya lalui, namun keyakinan diri yang membawa saya ke tangga kejayaan yang saya cita-citakan,” luah Hael yang bakal mementaskan konsert solo sulungnya Disember ini.
“Karier saya! My ultimate BOSS dalam kehidupan saya adalah karier saya sebagai aktres. Saya terjun ke bidang lakonan sejak muda lagi, bagi saya itu adalah pencapaian terbesar buat diri saya,” kata bintang Budak Tebing ini.
Bagi Nalisa pula, dia berharap keberaniannya akan menjadi inspirasi buat orang lain. “Me,myself and I, itulah interprestasi saya terhadap my ultimate BOSS. Pengalaman sebagai seorang model plus-size menjadi medium untuk saya menjadi inspirasi kepada individu di luar sana jangan malu dengan diri sendiri, serlahkanlah personaliti diri tanpa ada sekatan,” luahnya.