Mula diperkenalkan pada tahun 2018, Boy de Chanel terus mendapat sambutan sehingga ke hari ini. Rangkaian solekan untuk lelaki ini merubah pandangan tipikal sesetengah lelaki tentang solekan, ia bukan lagi hal yang berkaitan jantina tapi ia semua bersangkut-paut dengan stail.
Jika di awal kemunculannya Boy de Chanel dibarisi bedak asas cecair, salap bibir dan pensel kening, kali ini ia tampil dengan empat lagi item. Belaian paling asas ialah Fortifying Moisturizing Gel yang memelihara kulit agar kekal lembap, dan seeloknya disapu rata pada kulit muka sebelum sapuan bedak asas atau sebarang alat solek. Boy De Chanel juga memperkenalkan penyamar noda atau concealer yang mana ia dibarisi lapan ton untuk disesuaikan dengan variasi ton kulit, namun untuk pasaran Malaysia mungkin hanya tiga warna boleh didapati yakni Light 20, Medium Light 30 dan Medium 40.
Menariknya, Chanel turut menambah celak mata dan pewarna kuku untuk himpunan ini. Celak atau pensel mata Boy de Chanel 3-in-1 Eye Pencil ada tiga warna pilihan yakni hitam, coklat dan navy. Untuk pewarna kuku (Le Vernis) pula ada dua pilihan yakni hitam dan natural. Item baru ini akan berada di butik pada 1 Ogos 2020.