Lima Soalan Cantik bersama Zizi Kirana
Definisi cantik bagi anda?
Tiada yang lebih bermakna selain dari anda menjadi diri sendiri. Personaliti diri buat kita kelihatan lebih cantik. Itulah definisi cantik bagi saya.
Apakah rutin penjagaan kulit wajah Zizi?
Jangan terkejut jika saya sebenarnya sangat gemar melakukan rawatan wajah secara tradisional. Segalanya dibuat sendiri, seperti pupur muka, saya senang mencampurkan bahan-bahan di dapur seperti madu dan kunyit. Rejim ini membuatkan kulit lebih segar dan tidak kusam. Selain itu, saya turut amalkan meminum air jamu berasaskan kunyit buatan sendiri, biasanya saya akan minum jamu ini empat kali seminggu.
Apakah tip untuk mengekalkan kelembapan wajah setelah seharian pakai pelitup wajah?
Saya tidak pernah tinggal rutin asas penjagaan kulit muka. Jika anda harus memakai mekap seeloknya dahulukan pelembap, serum dan pelindung sinar UV. Pelitup wajah adakala buat kulit muka saya kemerahan dan ada masanya ditumbuhi jerawat. Jadi saya akan pastikan kulit saya dilempbapkan dengan baik setiap hari.
Senaman kegemaran?
Musim PKP 2.0 ini buat saya lega kerana kita diberi kelonggaran untuk melakukan aktiviti bersenam. Kalau bukan joging, sukan papan luncur menjadi pilihan saya.
Antara toner atau serum, yang manakah pilihan anda dan kenapa?
Serum! Kerana serum dapat beri serapan lebih efektif untuk kulit wajah saya. Kulit lebih licin dan bersih. Tidak bermakna toner itu tidak bagus, mungkin sebab saya gemarkan rutin yang cepat.
Berapa kerap anda membuat rawatan kuku?
Saya tiada masa untuk manjakan diri di salon rawatan kuku. Segalanya dilakukan di rumah sahaja. Mudah, potong dan bersihkan seperti biasa. Melainkan kalau ada masa terluang saya akan membuat rawatan kutikel kuku.