Untuk memiliki wajah yang menyerlah sempurna, bukan sekadar bergantung pada alat solek dan juga tidak hanya pada penjagaan kulit semata. Ia perlukan keseimbangan, gabungan antara kedua-duanya menghasilkan kulit sihat dan berseri. Tidak percaya? Cuba langkah-langkah berikut dan nilai sendiri hasilnya.
Gambar: INGimage
PUPUR SEBELUM MULA Pakai pupur sebelum memulakan solekan akan memberikan kulit anda ekstra lembab, dan dengan itu kulit akan tampak lebih sihat dan bermaya.
PEMAKAIAN PELEMBAB Tidak kisahlah jika kulit anda berminyak atau normal, pemakaian pelembab adalah perlu. Oleskan pelembab yang teksturnya tidak terlalu pekat selepas penggunaan pupur tadi. Kemudian, biarkan sekurang-kurangnya dua minit agar kulit dapat menyerap sempurna khasiat pelembab tadi.
BEDAK ASAS CECAIR Oleskan bedak asas dan biarkan selama beberapa minit. Ini akan membantu melembutkan tekstur kulit anda malah hasilnya juga tidak akan tampak kaku.
PEMAKAIAN PENYERLAH Penyerlah hadir dengan pelbagai tekstur, ada yang berbentuk batang, kompak dan juga cecair. Namun seeloknya adalah berbentuk batang atau krim kerana tekstur sebegini memberikan hasil yang lebih asli dan mudah mesra pada kulit.
Cara terbaik untuk mengoles penyerlah bedak adalah dengan menggunakan berus yang besar, ini kerana berus yang lebih besar memberikan sapuan yang lebih meluas dan ketara namun kekal semula jadi.
PEMERAH PIPI BERSINAR Setelah selesai dengan pemakaian penyerlah di bahagian atas tulang pipi, layangkan tipis pemerah pipi yang bertekstur berkilau (shimmer) pada tulang pipi. Struktur tulang pipi akan lebih menonjol dengan perbezaan ton antara penyerlah dan pemerah pipi.
SAPU TIPIS BEDAK WAJAH LUT SINAR Oleskan bedak tabur lut cahaya pada seluruh wajah untuk meminimumkan kilauan pada wajah agar tampak lebih semula jadi dan lebih menyerlah.