Kolaborasi yang mungkin tidak berada dalam beauty bingo card kita tahun ini, Huda Beauty secara rasmi bergabung tenaga dengan Cardi B menerusi Ultra Snatched, koleksi terbaharu yang membawa rangkaian ikonik Easy Bake ke tahap lebih berani, lebih merah jambu, lebih ungu dan tentunya, lebih snatched!
Kolaborasi ini mempertemukan dua personaliti yang sememangnya cukup sinonim dengan gaya berani dan extra. Huda Kattan membina empayar kecantikannya daripada kecintaan terhadap solekan glamor, manakala Cardi B pula tidak pernah asing dengan transformasi kecantikan dramatik, kuku maksimalis dan full glam yang sentiasa mencuri perhatian.
Huda Bertemu Cardi
Kolaborasi Huda Beauty dan Cardi B bukan sekadar meletakkan wajah selebriti terkenal pada sebuah kempen. Menurut Huda Beauty, Cardi turut terlibat bersama Huda dalam membentuk arah kreatif kempen pelancaran yang diberi nama “Snatched Baddies”.
Dan kalau mengenali kedua-duanya, tentu sekali kempen biasa-biasa bukan pilihan. Konsepnya bermain dengan idea pertukaran kehidupan ala Freaky Friday. Huda dan Cardi bertukar identiti apabila dunia mereka bertembung, sambil koleksi Ultra Snatched menjadi sebahagian daripada transformasi tersebut. Ia penuh humor, personaliti dan glamor tiga perkara yang sememangnya cukup dekat dengan identiti kedua-duanya.
Malah sebelum koleksi didedahkan sepenuhnya, Huda Beauty sudah mula bermain dengan rasa ingin tahu peminat. Dalam salah satu teaser, Cardi dilihat menulis namanya pada logo Huda Beauty sehingga ia bertukar menjadi “Cardi Beauty”. Tidak mengambil masa lama sebelum internet mula berteka-teki tentang apa yang sedang dirancang kedua-dua bintang ini.
Pink Bertemu Lilac
Jika Easy Bake sudah lama menjadi antara produk yang sinonim dengan Huda Beauty, Ultra Snatched memberikan rangkaian tersebut sedikit twist. Koleksi ini dibina berasaskan kombinasi merah jambu dan lilac. Tona merah jambu digunakan untuk membantu memberikan efek kulit lebih cerah, manakala lilac memberikan sentuhan brightening bernada sejuk. Apabila digabungkan, kedua-duanya direka untuk menghasilkan kemasan yang kelihatan lebih segar, lifted dan tentunya snatched.
Bintang utama koleksi ini ialah Easy Bake Loose Setting Powder Duos, yang hadir dalam dua kombinasi warna. Cherry Lilac menggabungkan Cherry Blossom Cake, rona merah jambu lembut, bersama rona baharu Lilac Muffin, iaitu lilac bernada sejuk. Duo ini disasarkan untuk tona kulit fair hingga light.
Sementara Pink Ube pula menggabungkan Pink Velvet Cookie, rona deep rosy pink, dengan Ube Birthday Cake, warna lilac elektrik yang pernah mencuri perhatian peminat Huda Beauty. Kombinasi ini pula direka untuk tona kulit mediumhingga tan.
Menariknya, bekas bedak ini hadir dengan dua warna berasingan. Jadi, pengguna boleh memilih untuk memakai satu rona sahaja atau mencampurkan kedua-duanya mengikut efek brightening yang diinginkan.
Bukan Loose Powder Sahaja
Ultra Snatched turut memperkenalkan Easy Bake Pressed Powder dalam dua warna, Ube Birthday Cake dan Pink Velvet Cookie. Berbeza dengan versi loose powder, formula kompak ini direka lebih praktikal untuk dibawa ke mana-mana dan digunakan bagi sentuhan semula sepanjang hari. Huda Beauty mendakwa formulanya menawarkan kawalan kilauan sehingga 12 jam, manakala Easy Bake Loose Setting Powder Duo pula menawarkan pemakaian sehingga 18 jam dengan kemasan airbrushed tanpa kesan flashback.
Untuk mendapatkan efek maksimum, Huda Beauty turut memperkenalkan teknik aplikasi yang dipanggil “Snatch Map”. Bedak tabur digunakan secara strategik pada bahagian tertentu wajah untuk memberikan efek cerah dan terangkat, sebelum Easy Bake Pressed dilapiskan bagi meningkatkan lagi efek tersebut.
Cardi B Memang Pilihan Yang Tepat
Sekilas pandang, Huda Kattan dan Cardi B mungkin datang daripada dua dunia berbeza. Seorang membina empayar dalam industri kecantikan, manakala seorang lagi merupakan bintang muzik global. Tetapi apabila bercakap tentang solekan, persamaan mereka sebenarnya cukup jelas.
Kedua-duanya menyukai glamor yang berani dan melihat solekan sebagai ruang untuk bereksperimen serta mengekspresikan diri. Huda Beauty sendiri menggambarkan kerjasama tersebut sebagai pertemuan dua dunia yang berkongsi kepercayaan bahawa kecantikan sepatutnya menyeronokkan, ekspresif dan tidak takut untuk tampil berlebihan.
Dan mungkin sebab itulah Cardi terasa seperti pilihan yang begitu natural untuk koleksi bernama Ultra Snatched. Jika ada seseorang yang boleh membuat pink powder, lilac under-eye dan full glam terasa seperti satu personaliti, Cardi B sememangnya calon yang tepat.
Bila Ultra Snatched Akan Dilancarkan?
Tidak perlu menunggu terlalu lama. Koleksi Huda Beauty x Cardi B Ultra Snatched dijadualkan dilancarkan pada 10 September 2026, dengan koleksi tersedia secara dalam talian dan di kedai terpilih. Kempen Snatched Baddies pula sudah mula diperkenalkan menerusi platform sosial, digital dan ruang runcit Huda Beauty.
Daripada menukar Huda Beauty menjadi “Cardi Beauty” sehinggalah bermain dengan bedak merah jambu dan lilac, kolaborasi ini terasa sangat Huda dan sangat Cardi dalam masa yang sama. Dan jika 2026 memerlukan satu lagi alasan untuk kembali baking di bawah mata, Ultra Snatched mungkin jawapannya.
Artikel Berkaitan:




