Meraikan kehangatan musim panas, Alessandro Michele membuat beauty freak ‘panas punggung’ dengan tiga koleksi terbaru Gucci Beauty.
Pengarah kreatif Gucci, Alessandro Michele ternyata berjaya menyeiringkan antara minda fesyennya dengan inspirasi kecantikannya, dia membuat nadi kedua-dua koleksi menghirup udara yang sama. Identiti dan DNA kedua-duanya (koleksi fesyen dan kecantikan) nyata bersatu dan ini diteruskan oleh Alessandro menerusi koleksi alat solek musim panas Gucci Beauty. Menerusi koleksi ini Alessandro banyak bermain dengan warna-warna terang yang cukup sinonim dengan suasana musim panas. Namun dalam masa yang sama dia juga tidak mahu melenyapkan warna-warna klasik kerana warna sedemikian bersifat malar segar dan ada pengikutnya tersendiri.
Pesona Gincu
Untuk musim ini Alessandro dan Gucci Beauty tampil dengan tiga himpunan baharu yang merangkumi pensel kening, gincu dan pewarna kuku. Gincu pastinya akan terus menjadi alat solek asas dan penting yang mengisi beg tangan mana-mana wanita. Kali ini Gucci Beauty menambah lagi lima warna buat himpunan Rouge À Lèvres Voile. Warna-warna gincu ini dinspirasikan daripada kegemilangan dunia filem dan Alessandro memeriahkannya dengan pelbagai ton dari yang semula jadi, jingga merah dan merah samar. Batang gincu Rouge À Lèvres Voile teksturnya ringan, selesa menyalut bibir membuatkan bibir terasa lembut dengan kemasan yang licin.
Pantis Kening
Merias kening bukan menjadi rejim solekan buat perempuan, malah lelaki hari ini juga sudah prihatin dengan bentuk kening mereka. Jadi pensel kening baharu ini saya jangka akan jadi kesukaan lelaki juga. Gucci Beauty Stylo À Sourcils Waterproof, pensel keningnya yang baharu, selain kalis air ia juga hadir dengan enam pilihan warna yang boleh disesuaikan mengikut warna kening. Mata penselnya halus dan tajam, lantas menjadi satu kelebihan untuk mencipta efek ‘feathery’ brow’ yang tampak semula jadi. Ia juga dilengkapi dengan berus (spoolie) untuk memperkemaskan bulu kening.
Jemari Glamor
Aleesandro melengkapkan himpunan terbaru Gucci Beauty ini dengan pewarna kuku Vernis À Ongles. Diabadikan dalam botol bernadi gaya vintaj, pewarna kuku ini dibarisi dengan rona menjerit yang akan memenuhi mood dan stail anda, dari klasik, edgy dan chic. Ia hadir dengan kemasan berkilat, cukup glamor. Menariknya pewarna kuku ini dihasilkan menggunakan bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan.
Artikel berkaitan: 12 Soalan Cantik Bersama Isyariana