Bukan sekadar merias, gel kening Nudestix baharu ini turut menguat dan melebatkan kening. Jika anda mencari gel kening yang bagus, inilah dia.
‘Dari mata turun ke hati’, ‘mata itu jendela hati’, ‘dari kerana mata yang mempunyai kuasa…’, itu semua frasa atau kata-kata tentang hebatnya mata sebagai pancaindera yang berkuasa. Kata-kata itu masih relevan dari dulu sampailah ke zaman Covid ini. Di saat kita kena memakai topeng pelitup muka, nampaknya mata sahajalah menjadi senjata untuk memikat mata yang melihat.
Tetapi sebenarnya, jika ada Covid atau tidak, riasan mata tetap jadi keutamaan selain bibir. Walaupun ada yang memandang mengadun pembayang mata itu satu rutin yang merumitkan dan mengambil masa, tapi tiada siapa bisa menidakkan pentingnya merias kening dan menyapu maskara pada bulu mata. Semalas mana pun anda bersolek, cubalah luangkan masa merias kening dan bulu mata selain mengoles gincu.
Kening fungsinya sebagai bingaki wajah, menjadi ‘interpretasi’ kepada mood keseluruhan wajah, dan bulu mata yang lentik dan panjang pula menyuntik kesegaran, mata nampak lebih terbuka.
Tawaran Baharu Nudestix
Saya ada cerita menarik untuk dikongsi tentang Nudestix. Saya mempunyai kening yang kontot, hujungnya tidak selebat pangkal, jadi saya perlu memakai pensel kening untuk membuatkannya nampak tebal dan panjang. Saya ada beberapa pensel kening yang jadi kegemaran, dan salah satunya ialah Nudestix Eyebrow Stylus. Tetapi apa yang memikat hati saya menggunakan pensel kening Nudestix adalah kerana ia dilengkapi dengan maskara atau gel kening yang sangat bagus. Ia betul-betul membuat kening saya tersusun kemas dan tahan lama.
Jadi saya sangat seronok bila mendapat tahu Nudestix mengembangkan rangkaian riasan kening dan bulu matanya. Brow Boost + Set Gel XL menyaksikan Nudestix berkolaborasi dengan influencer ekcantikan tersohor, Kathleen Lights. Gel kening ini wajib dimiliki kerana ia bukan sahaja bagus untuk mencipta kening yang cantik dan rapi malah ia juga mengandungi lima peratus peptide complex yang bertindak untuk merangsang keratin kening dan panthenol yang mujarab untuk menguatkan bulu kening.
“Setakat ini Brow Boost + Set Gel XL adalah gel kening terbaik yang pernah saya cuba,” kata Kathleen Lights. Dan semestinya saya setuju dengan testimonialnya itu kerana saya memang pernah menggunakan gel kening Nudestix, jadi saya percaya yang baharu ini memang betul-betul bagus.
Selain untuk riasan kening, Nudestix juga menawarkan formula dan bungkusan baharu buat maskara ikoniknya. Lash Lengthening Mascara mempunyai formula yang membuat bulu mata lebih lentik dan ia juga mengandungi bahan-bahan yang bermanfaat untuk kening seperti tri-peptide booster complex yang membuatkan bulu mata lebih panjang dan lebat selepas 60 Hari penggunaan.
Selain Lash Lengthening Mascara, Nudestix turut melancarkan Vegan Splashproof Mascara. Maskara ini dimewahkan dengan minyak argan, minyak biji mangga dan ekstrak buluh untuk melembap dan melindungi bulu mata. Maskara ini tahan lama memandangkan ia kalis air.
The Nudestix Boost + Set Gel XL (RM120.00), Lash Lengthening Mascara (RM120.00) dan Vegan Splashproof Mascara (RM 120.00) bakal berada di Sephora bermula 26 Ogos 2021.
Artikel Berkaitan: Tiga Pensel Kening Untuk Riasan Semula Jadi