Tidak semua yang viral itu betul. Kadang-kadang, ia cuma mitos lama yang dibungkus semula dengan filter cantik dan testimoni viral. Dalam dunia kecantikan yang penuh janji manis dan before after yang mengelirukan, penting untuk kita tapis maklumat dengan betul. Ingat kulit anda bukanlah bahan ujikaji trend semata-mata.
Dunia kecantikan hari ini bergerak sepantas scroll di hujung jari. Apa yang trending semalam, mungkin sudah diganti hari ini. Setiap minggu, muncul petua baharu, produk viral dan testimoni ajaib yang konon mampu menjadikan kulit flawless dalam masa tiga hari. Platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube kini menjadi beauty guru dalam generasi moden. Tetapi awas! Tidak semua yang viral itu benar, dan tidak semua tip yang kelihatan meyakinkan itu sebenarnya selamat.
Di sebalik filter cantik dan lighting sempurna, masih ramai yang terperangkap dalam mitos skincare yang sudah lama wujud cuma kini dibungkus semula dalam bentuk konten menarik. EH! bongkar tujuh mitos kecantikan paling kerap disalahfaham, yang bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi merosakkan kulit jika terus dipercayai. Siapa tahu, mungkin anda juga pernah menjadi mangsa mitos yang ini tanpa sedar.
1. “Lagi Mahal Skincare, Lagi Berkesan”
Harga bukanlah penentu keberkesanan. Hanya kerana sebotol serum berharga ratusan ringgit, tidak bermakna ia lebih baik daripada produk drugstore yang jauh lebih mampu milik. Dalam dunia skincare, yang benar-benar penting adalah bahan aktif, formulasi, dan keserasian dengan kulit, bukannya jenama besar atau pembungkusan mewah semata-mata.
Banyak produk dengan harga berpatutan kini menggunakan bahan yang sama hebat dan terbukti berkesan. Jadi sebelum terburu-buru membeli kerana terpengaruh dengan review atau reka bentuk botol yang cantik, selidik dulu kandungan sebenar produk itu. Kulit anda mungkin tidak tahu jenama, tetapi ia pasti tahu apa yang berkesan.
2. “Kulit Berminyak Tidak Perlukan Pelembap”
Ini mitos yang paling ramai percaya. Ramai yang memiliki kulit berminyak mengelak memakai pelembap kerana takut wajah menjadi lebih berat atau berminyak. Tetapi sebenarnya, apabila kulit kekurangan lembapan, ia akan menghasilkan lebih banyak minyak sebagai cara untuk melindungi lapisan luarannya menyebabkan pori tersumbat dan jerawat mula muncul.
Kunci utama adalah memilih pelembap yang betul, bukan menghindarinya terus. Pilih tekstur ringan seperti gel, lotion atau pelembap water-based yang cepat meresap dan tidak meninggalkan rasa berat pada kulit. Ingat, kulit berminyak juga berhak rasa seimbang dan selesa.
3. “Lagi Banyak Buih, Lagi Bersih”
Tidak dinafikan buih yang banyak memberikan kepuasan. Tetapi jangan terpedaya, ramai menyangka pencuci muka yang menghasilkan buih melimpah itu lebih berkesan. Sebenarnya, buih berlebihan selalunya datang daripada bahan seperti SLS yang boleh menanggalkan minyak semula jadi kulit secara berlebihan, lalu menyebabkan kulit menjadi kering, tegang, atau lebih sensitif.
Realitinya, kulit yang benar-benar bersih tidak perlu rasa ketat atau squeaky clean selepas dicuci. Rasa tegang itu sebenarnya tanda penghalang kulit anda sedang terganggu. Pilih pencuci muka yang lembut, bebas SLS, dan mengekalkan keseimbangan pH kulit kerana kulit yang sihat ialah kulit yang bersih, tenang dan cukup lembapan.
4. “Kalau Pedih, Maknanya Ia Sedang Berfungsi”
Ramai yang masih percaya kalau produk buat muka rasa pedih, itu maksudnya ia sedang buat kerja. Tetapi realitinya, kulit yang sihat tidak sepatutnya sakit untuk jadi cantik. Sensasi menyengat atau terbakar bukan tanda keberkesanan, tetapi amaran awal bahawa kulit anda mungkin terlalu terkejut, iritasi, atau tidak serasi dengan bahan tersebut.
Bahan aktif seperti AHA, BHA, retinol atau vitamin C sememangnya boleh memberikan sedikit rasa menyengat terutama pada awal rutin. Namun, rasa itu sepatutnya ringan dan sekejap. Jika anda rasa kulit mula merah, panas, pedih atau menggelupas keterlaluan itu bukan healing, itu tanda kulit anda meronta. Ingat, produk yang bagus bekerja dalam diam, bukan menyakitkan. Jadi dengar dan hormati bahasa kulit anda sebelum ia mula memberontak.
5. “Semakin Banyak Produk, Semakin Berhasil”
Mungkin anda berfikir lebih banyak produk, lebih effort dan kulit akan lebih glowing. Tetapi realitinya, layering produk secara berlebihan boleh memberi tekanan kepada kulit. Terlalu banyak bahan aktif dalam satu rutin boleh menyebabkan kulit keliru, overstimulated, atau lebih teruk breakout dan iritasi yang sukar dibaiki.
Apa yang lebih penting daripada kuantiti adalah kesesuaian formula dan konsistensi penggunaan. Kulit tidak perlukan rutin rumit untuk menjadi sihat cukup dengan rutin ringkas yang tepat, konsisten dan disesuaikan mengikut keperluan sebenar kulit. Ingat, skincare bukan perlumbaan dan ya, kadang-kadang, less is more benar-benar berkesan.
6. “Tidak Perlu Sunscreen Di Rumah”
Ramai yang fikir selagi tidak keluar rumah, kita tidak perlukan sunscreen. Tetapi sebenarnya, kulit kita tetap bekerja keras walaupun kita tidak bergerak ke mana-mana. Sinar UV bukan satu-satunya punca kerosakan kulit, cahaya biru dari skrin komputer dan telefon, lampu LED, serta sinaran UV yang menembusi tingkap tetap boleh menyumbang kepada penuaan, pigmentasi dan kulit kusam.
Walaupun anda hanya work from home atau duduk depan Netflix sepanjang hari, kulit masih perlu perlindungan. Pilih sunscreen ringan, tidak melekit dan mudah dicuci supaya ia boleh jadi sebahagian daripada rutin harian tanpa rasa leceh. Percayalah, pakai sunscreen dalam rumah hari ini dan kulit anda akan berterima kasih pada hari esok.
7. “Natural Selamat, Bahan Kimia Bahaya”
Ini antara mitos paling mengelirukan dalam dunia kecantikan. Ramai pengguna cenderung memilih produk yang dilabel natural, organik atau bebas bahan kimia kerana menyangka ia seratus peratus selamat dan lembut untuk kulit. Tetapi tidaklah semua bahan semula jadi sesuai untuk semua jenis kulit, dan tidak semua bahan kimia itu berbahaya.
Contohnya, essential oil yang sering dianggap natural darling itu boleh menyebabkan iritasi atau alahan jika tidak diformulasi dengan betul. Manakala bahan kimia seperti niacinamide, hyaluronic acid dan panthenol sebenarnya telah terbukti secara saintifik sangat berkesan dan selamat digunakan dalam dos yang tepat. Yang penting bukanlah label di hadapan botol, tetapi formulasi dan cara penggunaannya. Ingat, racun pun boleh jadi ubat jika dosnya betul.
Artikel Berkaitan: Rutin Skincare Pagi Untuk Kulit Berminyak