Dior Beauty menghimpun Jenna Ortega dan enam lagi bintang lain untuk kempen haruman Gris Dior, meraikan keberanian, perbezaan dan kepelbagaian.
Orang selalu kata haruman adalah cerminan karakter dan personaliti, dan ada juga yang berpendapat setiap haruman itu sendiri punya sisi yang berbeza-beza dan membuatkan tafsiran orang kepada satu-satu haruman itu berlainan.
Dan kerana itu jugalah rasanya mengapa Dior menghimpunkan tujuh artis untuk mentafsir haruman Gris Dior. Gris atau membawa maksud kelabu adalah salah satu warna yang sangat dominan di Dior, sering saja menjadi pilihan warna buat dinding interior butiknya. Kelabu di Dior setara popular dengan hitam dan putih. Dan dek kerana kentalnya kuasa kelabu dalam lipatan sejarah Dior, maka warna ini diangkat sebagai inspirasi buat haruman eksklusif Gris Dior.
Meraikan ‘kelabu’ dalam kembara Dior, rumah fesyen Paris ini mengundang tujuh wajah ternama generasi baru berkongsi persepsi mereka tentang sisi Gris Dior yang mana setiap dari mereka punya pandangan berbeza. Pemilihan tujuh artis berlainan karakter berbeza personaliti ini membuka ruang untuk Dior dan kita sendiri melihat bagaimana sebotol haruman itu mencambah inspirasi nan berlainan.
JENNA ORTEGA
Jenna Ortega yang masyhur menerusi siri ‘Wednesday’ antara bintang yang menyerlah sepanjang tahun lalu. Siri yang diarahkan oleh Tim Burton itu memecah rekod Netflix sebagai siri paling banyak ditonton di platform streaming itu. Kemunculannya dalam siri itu juga meetakkan namanya tercalon dalam beberapa anugerah berprestij termasuklah di Golden Globe dan Screen Actors Guild.
MAYA HAWKE
‘Little Women’, siri mini menjadi debut yang menjadi buat Maya Hawke. Dari situ langkahnya makin panjang apabila dia membintangi siri ‘Stranger Things’ yang sekaligus membuatkan namanya meniti di bibir penggemar siri itu. Anak kepada aktor Ethan Hawke ini juga bukan sekadar lincah di set penggambaran malah juga aktif di studio rakaman dan pentas nyanyian. Dia baru sahaja melancarkan album keduanya ‘Moss’.
JOSEPH QUINN
Joseph Quinn sebenarnya adalah artis pertama yang menjadi wajah Gris Dior (La Collection Privée Christian Dior). Aktor kelahiran kota London ini menjadi perhatian seantero dunia setelah muncul di dalam siri ‘Stranger Things’ musim keempat. Dia juga ligat di pentas teater dan dia pernah muncul di pentas bersama Olivia Colman bagi pementasan ‘Mosquitoes’. Ketika ini dia sedang berkampung di set penggambaran filem baharu bersama award-winning-actress, Lupita Nyong’o.
FAI KHADRA
Fai Khadra bagi saya sangat artistik (saya juga salah seorang pengikutnya di Instagram). Apa yang unik dan menariknya tentang jejaka ini ialah dia memiliki perspektif unik tentang muzik,, fesyen, senibina, arahan kreatif mahupun rekaan pentas dan juga seni halus. Pelbagai kolaborasi sudah dijalinnya dan antara yang mendapat perhatian ialah ‘Sotheby’s Contemporary Curated London’.
Kempen Gris Dior turut dibintangi tiga artis lain iaitu Liu Yu Xin (penerbit dan penari), Orelsan (penulis lagu-penyanyi) dan Thuso Mbedu, pelakon kelahiran Afrika yang sebelum ini pernah tercalon di Emmy Awards sebanyak dua kali menerusi kecemerlangan aksinya di dalam siri ‘IS’THUNZI’.