Buat julung kali, FACE Awards yang dibawakan oleh syarikat kosmetik terkemuka dunia iaitu NYX Professional Makeup bakal diadakan di Malaysia.
FACE (Fine Artistry of Cosmetic Elites) Awards merupakan acara tahunan yang diadakan oleh jenama NYX Professional Makeup. Ia adalah sebuah pertandingan yang memfokuskan pada individu yang terbaik di dalam komuniti kecantikan dan solekan menerusi YouTube.
Ia telah berlangsung di Amerika Syarikat sejak enam tahun yang lalu dan dari situ ia mengembangkan lagi kelompok komuniti kecantikan di dalam YouTube serta memberikan mereka lebih peluang dengan cabaran dan meluahkan bakat kreativiti yang lama terpendam.
Pada tahun lalu, lebih 2000 orang jurusolek artis menyertai pertandingan di Amerika Syarikat dan sebanyak 24 buah negara lain turut mengadakan pertandingan yang sama dengan mendapat sambutan lebih 1 billion menerusi media sosial.
Jadi tahun ini, FACE Awards bakal diadakan di Malaysia dan akan bermula secara online dari bulan ini (April). Ia merangkumi tiga tahap cabaran serta penyingkiran dan ia terbuka pada undian awam yang membolehkan peserta memasuki pusingan seterusnya.
Ia akan mengambil masa selama empat bulan sehingga pusingan terakhir. Bermula dengan TOP 30, kemudian TOP 15 adalah pusingan cabaran, dan peserta yang sampai ke TOP 6 akan dikumpulkan di Kuala Lumpur untuk mereka persembahkan video tutorial solekan di FACE Awards Grand Finale pada 12 Julai nanti di mana hanya seorang finalis yang akan memenangi gelaran ‘Beauty Vlogger of The Year’.
Pemenang utama bakal menerima setahun produk kosmetik NYX dan trip yang ditaja sepenuhnya ke Los Angeles California untuk menyaksikan pusingan terakhir FACE Awards LA secara langsung.
Pertandingan FACE Awards ini sudah pun bermula pada 14 April 2017 dan penyertaan adalah terbuka untuk semua orang yang mempunyai bakat serta kreativiti dalam bidang solekan.
Jika anda berminat, bolehlah hantarkan video tutorial solekan anda ke www.NYXCosmetics.com.my/faceawards.