Sebelum memulakan apa-apa rawatan atau pemakaian produk baru lakukan proses pengelupasan sel kulit mati (exfoliating) terlebih dahulu.
Gel pengelupasan tidak semestinya hadir 1 dalam tekstur berbiji-biji, ada juga yang tersedia dengan gel biasa namun apabila digosok pada kulit, ia berkesan menanggalkan sel-sel kulit mati.
Kepentingan menanggalkan sel kulit mati ini adalah untuk memudahkan sel kulit baru disuburkan kembali, langsung memudahkan penyerapan khasiat produk lain seperti losen atau pelembap pada kulit.
Andainya, sel kulit mati ini tidak dibuang, ia menyebabkan kulit kelihatan kusam, kering dan pori- pori tersumbat. Jadikan rutin dua kali seminggu untuk menyental kulit tetapi ingat harus disusuli dengan pemakaian pelembap.
1. PERLU TAHU MENGENAI PENGELUPASAN
Pengelupasan kulit dilakukan untuk meningkatkan kualiti kulit, ia dicapai ketika anda menyingkirkan sel-sel kulit mati daripada lapisan kulit pertama (permukaan). Kulit setiap individu menghasilkan lebih kurang satu juta sel kulit setiap minit.
Hal ini menunjukkan bahawa setiap orang memperoleh sel kulit lebih daripada lima milyar setiap hari. Pengelupasan kulit wajah atau pengelupasan datang dalam pelbagai bentuk dan manfaatnya, dari rawatan antipenuaan, pencegahan untuk jerawat dan sebagai pelindung sinaran matahari.
Teknik pengelupasan kulit seperti pengelupasan kimia menyediakan produk rawatan kulit di rumah dengan pendekatan rawatan kulit semula jadi. Terdapat banyak produk pengelupasan yang berasaskan bahan organik yang boleh dijadikan ‘teman’ rutin penjagaan wajah, namun begitu anda perlu berhati-hati kerana ini bukanlah jaminan bahawa bahan organik sesuai untuk semua jenis kulit. Lakukan ujian dan kajian terlebih dahulu tentang kesesuaian bahan.
2. PROSES PENGELUPASAN KULIT SEMULA JADI
Sel-sel kulit pada lapisan atas akan mati selepas 25 hari anda melakukan pengelupasan kulit yang terakhir,
jadi pada waktu ini ia memberikan kesempatan bagi sel kulit segar untuk mengambil tempat mereka. Jadi sekiranya masih ada sel-sel kulit mati yang tertinggal dan tidak disingkirkan maka ia menghalang proses kulit baru untuk terhasil.
Proses yang terhalang ini menjadi lebih rumit dengan munculnya bintik-bintik hitam dan bintik-bintik putih, tekstur yang kasar dan rona kulit yang tidak sekata. Sekiranya anda melakukan rawatan pengelupasan tepat pada masanya maka semua produk yang anda oles pada kulit seperti pelembap, serum dan penyegar akan memberi kesan yang lebih pantas. Tanpa perlu menembusi lebih dalam sel-sel kulit mati, ia lebih efektif dan pantas menyerap.
3. PENGELUPASAN DAPAT MEMBANTU MENGECILKAN PORI-PORI
Tidak semua orang sedar akan kebaikan pengelupasan selain daripada mencerahkan kulit. Pori-pori sebenarnya boleh mengembang mengikut kandungan sebum dan kotoran yang membiak di dalamnya. Lebih dahsyat, semakin berusia semakin tinggi potensi untuk pori mengembang, jadi dengan pengelupasan dapat mengecilkan rongga pori-pori.
4. LEBIH BANYAK ASID LEBIH BERKESAN
Anda akan memperoleh hasil yang memuaskan dengan kombinasi beta dan alfa asid hidroksi termasuk glikolik berbanding hanya satu bahan asid dengan kandungan yang agak tinggi. Bukan sahaja ia memberi impak yang lebih hebat jika bergabung, malah dapat mengurangkan tahap iritasi.
5. PENTINGNYA RUTIN SELEPAS PENGELUPASAN
Seminit selepas anda lakukan pengelupasan, sel-sel kulit mati telah pun disingkirkan dan terhasilnya sel kulit baru yang sedia menerima bahan anti penuaan. Oleskan serum dengan peptida, retinol atau Vitamin C diikuti dengan pelembap barrier-boosting untuk kesan yang lebih maksimum.