Oleh Izzati Saadin
Gambar: INGimage
Tidak mustahil solekan yang dioles waktu pagi tahan hingga ke malam, apatah lagi untuk yang berjanji temu di malam harinya!
Jika solekan anda tiada asas yang sempurna, pasti mudah hilang tidak kiralah sama ada tangan anda menyentuh solekan ataupun dek kerana berpeluh. Jadi untuk memiliki solekan yang kekal lama, ikuti langkah berikut:
Gunakan primer & bedak asas cecair
Baik untuk asas wajah mahupun asas kelopak mata, penggunaan primer adalah penting untuk memastikan asas wajah dan rona pembayang mata tahan lebih lama. Malah selepas aplikasi primer, lapisinya dengan bedak asas cecair yang bebas minyak.
Kemaskan solekan dengan bedak tabur
Penggunaan bedak tabur sememangnya penting bagi melitupi bahagian yang tertinggal kala anda menyapu bedak asas cecair tadi. Malah ia juga berfungsi mengemaskan solekan anda agar kulit tampil mulus dan kekal lama.
Gabungan pemerah pipi
Gunakan pemerah pipi jenis krim terlebih dahulu kemudian lapisinya dengan pemerah pipi jenis kompak. Ia dapat memberi hasil yang tahan lama dan lebih menyerlah.
Bulu mata kekal lebat dan lentik
Gunakan pelentik bulu mata terlebih dahulu sebelum menggunakan maskara dan untuk bulu mata lebat sempurna, palitkan asas maskara selepas menggunakan pelentik bulu mata kemudian baru palitkan maskara pilihan.
Semburan wajah
Selepas solekan semburkan semburan solekan ini agar wajah tampil lebih segar dan sempurna. Pilih semburan yang mengandungi vitamin dan tidak menyebabkan pori-pori tersumbat.
Palitkan gincu dua kali
Cara pemakaian gincu amat penting dalam mengekalkan warnanya. Apa yang anda perlu lakukan adalah oleskan buat kali pertama pada bibir kemudian tekap pada tisu. Oleskan untuk kali kedua dan anda akan perolehi warna yang lebih menyerlah dan tahan lama. Untuk efek bibir mungil oleskan pengilat bibir di tengah-tengah bibir.