Kami rasa anda pasti tahu bahawa tahap metabolisme semakin perlahan selari dengan peningkatan usia. Bukan itu sahaja, kajian menunjukkan berat badan wanita akan meningkat sekurang-kurangnya 1.5 pound setahun dan bayangkan berapa berat anda ketika menjelang usia 30an? Menakutkan sungguh! Apa yang perlu anda lakukan untuk mengekalkan tubuh badan anda seperti anak dara ketika berusia 30an?
Gambar: health.msn.co.nz
30 Minit Sudah Tidak Memadai
Sekiranya sebelum ini anda selalu bersenam selama 30 minit sehari dan ia berkesan untuk mengekalkan bentuk badan anda walaupun anda tidak menjaga pemakanan. Tetapi setelah umur mencecah 30an, anda perlu menggandakan tempohi senaman anda kepada 45 sehingga 60 minit selama empat kali seminggu untuk hasil yang lebih memuaskan.
Kardio Tidak Membantu Anda Kurus
Jika sebelum ini berjalan dengan pantas atau joging boleh membuatkan anda kurus dengan cepat, kini ia sudah tidak memadai lagi. Selang-seli senaman kardio dengan mengangkat berat kerana hanya dengan cara ini tahap metabolisme anda kekal aktif serta membantu anda kurus dengan cepat di samping dapat membina otot.
Bersenam Dengan Berterusan
Setelah anda membina otot tetapi tidak mengamalkan senaman secara berterusan, pada usia 30-an, otot anda akan kurang beratnya di mana ia akan menjadi lebih kecil dan menggeleber. Lebih memeningkan kerana apabila ini terjadi, lemak akan mudah terbentuk di sekeliling otot walaupun anda merasakan yang anda menjaga pemakanan anda. Jadi, jangan sesekali berhenti bersenam!
Bersenam Dengan Betul
Lebih baik sekiranya umur anda sudah mencecah 30-an, janganlah anda memilih senaman yang terlalu ekstrem kerana walaupun anda mahu membina otot untuk meningkatkan tahap metabolisme, anda perlu menjaga sendi dan tulang anda juga. Sekiranya anda ke gimnasium, dapatkan khidmat nasihat jurulatih di situ. Ataupun anda boleh memilih senaman yang sesuai seperti Yoga atau pilates yang sememangnya ada tenaga pengajar untuk memantau anda.