Kendall Jenner sekali lagi mengukuhkan statusnya sebagai figura global apabila diumumkan sebagai wajah baharu wangian Emporio Armani.
Daripada pentas peragaan ke dunia perniagaan, pengaruh Kendall Jenner terus berkembang merentas fesyen, kecantikan dan budaya pop dan kini diserlahkan pula melalui peranannya sebagai duta global untuk wangian terbaharu Emporio Armani, POWER OF YOU Parfum.
Pelantikan ini terasa begitu tepat. Kehadirannya dalam keluarga Emporio Armani mencerminkan visi jenama yang meraikan keaslian diri serta kekuatan feminin yang lahir secara semula jadi.

“Menjadi sebahagian keluarga Emporio Armani adalah keputusan yang sangat mudah buat saya. Saya sentiasa menyukai bagaimana jenama ini memberi ruang untuk kita menjadi diri sendiri. Wangian POWER OF YOU pula benar-benar lengkap, ia bersifat magnetik, mewah dan terasa begitu sensual,” kongsinya.
Sebagai duta global wangian ini, Kendall Jenner menjadi wajah utama untuk kempen terbaharu POWER OF YOU PARFUM, yang bakal dilancarkan pada Februari 2026. Kerjasama ini menandakan bab baharu dalam dunia wangian feminin Emporio Armani, dengan fokus kepada keaslian diri dan kuasa feminin yang bersahaja.
Kempen yang diarahkan oleh Gordon von Steiner ini, mula mencuri perhatian apabila teaser awal dilancarkan di Instagram, menampilkan Kendall menari penuh ekspresi dengan iringan lagu ikonik “Born Slippy” oleh Underworld.
POWER OF YOU by Emporio Armani hadir sebagai lebih daripada sekadar haruman. Wangian ini dicipta untuk wanita yang yakin dengan diri sendiri, berani dan memiliki kehadiran yang mampu menerangi ruang sekeliling. Dengan karakter yang bold, addictive dan free-spirited, haruman ini meraikan kekuatan kolektif wanita mereka yang melangkah dengan yakin dan meninggalkan impak.

Botol POWER OF YOU pula direka bak permata dengan rona ruby yang cukup elegan untuk menjadi statement piece di meja solek, seiring dengan identiti wangian yang berani. Dicipta oleh perfumer Givaudan, Nisrine Bouazzaoui Grillié dan Nadège Le Garlantezec, komposisi wangian ini membuka tirai dengan nota maracuja atau passion fruit yang segar. Emporio Armani menyifatkannya sebagai “wangian untuk wanita yang memeluk cahaya diri mereka dan menggalakkan orang lain untuk turut bersinar.”
Pelantikan Kendall Jenner sebagai duta global turut mengukuhkan strategi Emporio Armani dalam menghubungkan dunia wangian dengan fesyen, selebriti dan relevansi budaya semasa. Sebagai figura paling dikenali dalam industri fesyen dan kecantikan global, Kendall membawa daya tarikan rentas generasi, melengkapi barisan duta Armani Beauty yang lain seperti Nicholas Galitzine, Hanni dari NewJeans dan Sydney Sweeney.
Wangian ini dijangka berada di semua stor di Malaysia mulai April 2026, sementara kempen penuhnya boleh disaksikan bermula 9 Januari, dengan mesej inspirasi daripada Kendall sendiri, “Let’s light up the room!”
Artikel Berkaitan: Rutin Cantik Datin Intan Najuwa & Harga Produk Yang Digunakan
