Solekan yang stunning membuatkan riasan Athisha Khan di majlis pernikahannya mendapat pujian ramai. EH! menghubungi Khir Khalid, jurusolek yang bertanggungjawab mencipta riasan persis Kendall Jenner itu.
Influencer dan YouTuber terkenal, Athisha Khan melangsungkan majlis pernikahannya Sabtu lalu di Sime Darby Convention Centre. Perkahwinan yang dilatari dengan tetamu dalam persalinan beige menyaksikan Athisha tampil cukup anggun dalam gaun putih Alia Bastamam. Apa yang menjadi perhatian ialah solekan Athisha yang cukup ringkas namun cukup menyerlahkan keaslian serta kejelitaan yang dimiliknya. Solekannya dihasilkan oleh award winning makeup artist, Khir Khalid manakala dandanannya disempurnakan oleh Juno Ko.
Apakah fokus solekan pada Athisha?
Fokusnya adalah untuk mengekalkan apa yang sudah cantik dilihat. Tidak banyak yang ‘diubah’. Jika diperhatikan solekan hari itu bagaikan tidak bermekap, cukup natural. Saya menghasilkan angelic makeup. Bibir pun sekadar bersalut glos bibir sahaja. Saya hasilkan solekan yang bersih.
Apa permintaan Athisha pada Khir?
Ini adalah kali kedua saya meriasnya, kali pertama sewaktu kami di Milan. Waktu itu Athisha sudah cakap yang dia mahu saya menyoleknya jika dia berkahwin satu hari nanti. Dia tidak ada permintaan, dia menyerahkan semuanya kepada saya dan dia pula seorang yang terbuka dengan idea. Dia mendengar kata. Apabila dia gembira dengan solekannya Sabtu lalu, itu sudah tentu lebih menggembirakan saya.
Momen menarik sepanjang menyiapkan Athisha?
Saya anggap dia seperti adik, jadi bila dia beri kepercayaan dan kebebasan 100 peratus, itu yang membuatkan saya lebih bersungguh untuk berikan yang terbaik untuknya. Dia percaya kepada vision saya. Wajahnya pula tidak sukar untuk dirias.
“Jika diperhatikan, bulu mata palsu pun saya tidak gunakan sewaktu meriasnya,”- Khir Khalid
Boleh kongsikan antara produk penting yang digunakan untuk mendapatkan look ini?
Saya gunakan pelembap dari La Mer kerana sangat penting untuk kita prep skin sebaiknya, ia membantu untuk mencipta solekan yang tampak semula jadi. Saya juga menggunakan bedak asas dari Nars, saya sapukan tipis sahaja. Untuk solekan mata saya gunakan palet dari Pat McGrath. Paling saya suka ialah maskara dari Hourglass, itu kesukaan saya buat masa sekarang. Memandangkan saya tidak menggunakan bulu mata palsu jadi saya perlukan sebatang maskara yang bagus.
Ada yang menyamakan wajah Athisha hari itu seperti Kendall Jenner, Kim Kardashian dan Kylie Jenner, pendapat Khir?
Sebenarnya saya tidak jadikan tiga nama itu sebagai rujukan, tidak terfikir pun. Rujukan saya sewaktu melakukan ‘homework’ sebelum merias Athisha ialah Deepika Padukone. Saya sangat sukakan solekan dan penampilannya sewaktu dia berkahwin. Bagi saya dia punya raut wajah timur yang moden. Saya dapat bayangkan Athisha dalam solekan yang serupa.
Siapa yang boleh mencuba solekan seperti Athisha ini?
Sejujurnya tidak semua orang boleh mengguna pakai solekan polos, atau orang cakap ‘no makeup makeup’. Orang yang sudah cantik wajahnya, cantik mata, hidung dan kulitnya sahaja boleh. Wajah yang tidak perlu banyak ‘dibega’, yang tidak perlu kontur atau shading yang keterlaluan.
Tip atau nasihat Khir kepada bakal ratu sehari dalam merancang solekan di hari bahagia mereka nanti?
Bakal pengantin kena tahu cita rasa dia sebelum dia menempah jurusolek. Mereka kena tahu stail mereka. Bila mencari rujukan, jadilah seorang yang realistik. Pilihlah yang setanding dengan raut kita. Jangan jadi orang lain, wajah anda adalah wajah anda sendiri.
Baca: #EHklusif: 8 Soalan Bersama Alia Bastamam, Pereka Gaun Kahwin Neelofa