Seratus tahun bukan satu jangka masa yang singkat, jadi Chanel mahu terus meraikan kegemilangan haruman ikonik N°5 menerusi satu koleksi istimewa, dari haruman hingga ke alat solek.
Meraikan ketibaan penghujung tahun 2021, Chanel mahu tahun ini ditutup dengan satu himpunan yang bukan sahaja eksklusif tetapi satu koleksi yang akan diingati sampai bila-bila. Menyambut ulang tahun ke-100, haruman Chanel N°5 diangkat sebagai nadi subjek utama kepada Holiday Collection 2021 rumah fesyen Paris ini. Chanel N°5 yang diperkenalkan oleh Gabrielle Chanel pada tahun 1921 telah membawa pembaharuan dalam dunia minyak wangi di era itu. Baunya lari dari sifat haruman konvensional ketika itu.
Mendahului himpunan musim percutian ini, haruman N°5 dipersembahkan dalam botol yang diperbuat daripada bahan kitar semula. Ini merupakan satu pemulaan bagi Chanel dalam menggunapakai dan mengaplikasi penggunaan sebanyak mungkin bahan mesra alam dalam produk-produknya. Tambah menarik botol edisi terhad ini juga dibekaskan di dalam kotak dalam bentuk serupa dan menggunakan kertas terbiodegradasi dan angka nombor 5’5’ pada botol haruman ini juga ditonjokan dalam warna emas.
‘Kalendar’ Eksklusif
Tidak terhenti pada botol dan bungkusan eksklusif, Chanel N°5 diraikan lagi dengan kehadiran ‘kalendar’ dalam bentuk botolnya, yang mana di dalam ‘kalendar’ kotak ini disempurnakan dengan 27 kotak yang diisi dengan pelbagai item istimewa. Kotak nombor lima pastinya berisi haruman N°5. Lebih menarik, ada juga gincu Rouge Allure dan pewarna kuku Le Vernis edisi terhad. Yang mana kedua-duanya tampil dalam warna merah baharu yang mempesona.
Botol Chanel N°5 Terbesar
Koleksi percutian Chanel 2021 juga mencipta sejarah tersendiri apabila mereka menghasilkan Chanel N°5 dalam kelalang paling besar, yang mana saiznya mencecah 2021ml. N°5 edisi ini hanya ada 55 botol sahaja di seluruh dunia dan setiap satunya dinomborkan. Mengapa 2021 ml? Selain kerana tahun ini tahun 2021, melengkapkan 100 tahun usia minyak wangi ini, tiap angka dalam 2021 andai ditambah jumlah adalah lima.
Bukan Sekadar Haruman!
Seperti dinyatakan, Chanel mahu meraikan ulang tahun Chanel N°5 gilang-gemilang, tidak hanya mahu mengharumkan setiap pencintanya, Chanel juga merias wajah-wajah penggemar haruman ini lantas mereka melengkapkan koleksi percutian ini dengan alat solek. Koleksi riasan edisi terhad ini mengangkat warna emas bersama-sama ton hitam, putih dan merah, yang mana empat warna ini dianggap sebagai warna kehidupan.
Jika mahu diulas tentang koleksi ini, pealet pembayang matanya antara yang menangkap mata. Muncul dalam warna emas, hitam dan putih gading, warnanya diinspirasikan daripada warna botol Chanel N°5 sendiri. Menyempurnakan koleksi ini tentunya gincu Rouge Allure, pewarna kuku, Iridescent Illuminating Fluid dan highlighter dalam bentuk stik. Kesemua himpunan ini sudah berada di pasaran termasuklah belian secar dalam talian di pautan ini.
Baca: Chanel N°5, Lapan Ikon Yang Pernah Membintangi Iklannya