Biji halus mungkin sekecil titik, tetapi ia mampu mengganggu hari-hari dan merosakkan mood anda. Kadangkala, produk mahal sekalipun tidak akan memberikan hasil yang diingini jika anda tidak memahami punca dan cara rawatannya dengan betul
Pernah tak anda bangun pagi dan terasa kulit seperti tidak selesa? Bila diperhatikan di depan cermin, kelihatan bintik-bintik kecil, halus dan kasar yang ‘menumpang’ di pipi, dahi atau dagu. Ia bukan jerawat merah yang membengkak, bukan juga ruam biasa. Jadi, apa sebenarnya bintik halus ini?
Jika anda tertanya-tanya, anda tidak keseorangan. Dalam dunia kecantikan, masalah ‘biji halus’ atau dalam istilah dermatologi dikenali sebagai closed comedones merupakan salah satu masalah yang paling biasa berlaku, namun sering mengelirukan.
Buat anda yang pernah, sedang atau baru mula berdepan dengan masalah ini, EH! telah merangkumkan segala yang anda perlu tahu, daripada punca utama sehinggalah cara paling berkesan untuk merawat dan menghalangnya daripada terus menghantui kulit anda.
Apa Sebenarnya Biji Halus?
Biji halus terbentuk apabila pori-pori kulit tersumbat oleh minyak berlebihan, sel kulit mati, dan kotoran tetapi masih belum cukup ‘terbuka’ atau meradang menjadi jerawat. Akibatnya, terbentuklah bintik kecil dan kasar terasa seperti permukaan pasir halus yang tidak sakit tetapi cukup membuatkan tekstur kulit terasa kasar, tidak rata dan tidak selesa
Punca Dan Cara Rawat Biji Halus
1. Tidak Cuci Wajah dengan Betul
Jika anda sering memakai solekan, sunscreen dan keluar rumah setiap hari, mencuci muka dengan pencuci muka sahaja tidak cukup. Anda perlukan double cleansing, cleansing balm atau oil untuk melarutkan semua kotoran degil, kemudian susuli dengan pencuci wajah lembut bagi memastikan wajah anda benar-benar bersih.
2. Sel Kulit Mati Berkumpul
Sebenarnya, kulit kita akan memperbaharui secara semula jadi, tetapi tanpa bantuan khusus, sel kulit mati akan terus berkumpul di permukaan kulit dan lama-kelamaan, boleh menyebabkan pori-pori tersumbat dan mengundang kemunculan biji halus. Untuk mengelakkannya, pilih skrub lembut atau produk pengelupasan seperti AHA atau BHA, dan cukup 1 hingga 2 kali seminggu penggunaan sahaja. Ingat, jika terlalu kerap exfoliate juga boleh merosakkan lapisan pelindung kulit dan membuat masalah kulit bertambah teruk.
3. Hormon Tidak Stabil
Perubahan hormon sememangnya sukar dielakkan, terutama ketika datang bulan. Ia boleh ‘mengganggu’ keseimbangan hormon tubuh, menyebabkan pengeluaran minyak berlebihan. Apabila minyak bercampur dengan kotoran dan sel kulit mati, pori-pori mudah tersumbat lalu terhasilnya biji halus yang mengganggu tekstur kulit. Untuk membantu ia kekal stabil, amalkan gaya hidup sihat seperti tidur yang cukup, kawal stress dan pilih produk penjagaan kulit yang lembut serta tidak merengsakan.
Artikel Berkaitan: Tip Elak Foundation ‘Crack’ Selepas Beberapa Jam