Lash Extension bagai satu fenomena apabila diperkenalkan di Malaysia, dan kini Lash Perm pula menjadi tular, EH! merungkai persoalan anda tentang rawatan ini!
Siapa tidak mahu bangun setiap pagi bulu mata sudah sedia melentik. Menunggu dipalit maskara saja! Jika sambungan bulu mata palsu (Lash extension) menimbulkan pelbagai spekulasi yang mana tidak sesuai dibawa solat, rawatannya melibatkan kos yang tinggi, malah penjagaannya juga cukup ‘high maintenance’.
Dan kini tumpuan beralih pada teknik yang lebih mudah dijaga dan boleh skip satu langkah iaitu melentikkan bulu mata dengan Lash Perm! Jika anda teringin untuk mencuba ketahui perkara berikut terlebih dahulu:
1. Apakah Lash Perm?
Pernahkah anda membuat rawatan rambut hair perming dahulu? Ia cukup popular pada zaman 80-an hingga ke awal 2000. Samalah seperti lash perming ini, yang mana bahan kimia digunakan untuk melentikkan bulu mata.
2. Ketahui keselamatan rawatan ini
Apabila melibatkan penggunaan bahan kimia ini, keselamatan perlulah dititikberatkan. Apatah lagi bahan kimia yang digunakan itu adalah pada bahagian yang paling sensitif iaitu mata. Jadi sentiasa pergi ke tempatan rawatan yang sememangnya pakar dalam lash perming. Apabila anda betul-betul yakin barulah buat janji temu!
3. Bebas Alahan
Selepas anda memastikan tempat rawatan yang profesional, langkah seterusnya pastikan bahan yang digunakan serasi dengan kulit anda. Tidak kira penjagaan kulit, alat solek atau ubat pasti akan ada alahan, jadi cuba dahulu bahan yang digunakan pada kulit tangan anda, jika bebas iritasi then go for it!
4. Apakah proses rawatan ini?
Anda perlu hadir melakukan rawatan ini dengan bulu mata yang bersih tanpa secalit maskara atau minyak penanggal solekan. Dua pad mata akan diletakkan pada kelopak mata dan bawah mata. Kemudian gam akan disapu pada bulu mata sambil melekap pada pada di bahagian kelopak mata tadi. Dan bahan pelentik bulu mata akan disapu berkali-kali hingga rata dan ditutup dengan pad kapas untuk seketika. Setelah selesai rawatan, bahan tadi akan dicuci kemudian bulu mata disikat agar terlerai. Anda boleh lihat hasilnya dalam masa 15 minit sahaja. Namun keseluruhan rawatan mengambil masa selama satu jam. Dan yang paling penting ia langsung tidak menyakitkan, proses ini boleh dikatakan cukup lembut dan delicate!
5. Bagaimana cara penjagaannya
Untuk 24 jam pertama memang anda perlu berhati-hati. Elakkan pemakaian maskara dan elakkan bulu mata dari terkena air. Sama sepeti apabila rambut baru selesai perming atau rebonding. Ia mungkin akan menghilangkan kesan bahan kimia yang belum benar-benar meresap. Selesai rawatan juga, pelembap bulu mata akan disapu dan amalkan penjagaan ini di rumah! Rawatan ini boleh bertahan selama sebulan dengan harga serendah RM79 satu sesi. Jadi cukup berbaloi!