Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Usah ambil ringan akan selaran matahari pada permukaan kulit kita. Ianya sebenarnya boleh menyebabkan masalah kulit dan seterusnya berisiko untuk menghidap penyakit kanser kulit. Jadi, pastikan anda melakukan yang sebaik mungkin untuk menghindarkan tubuh dari terkena cahaya matahari yang merbahaya.
EH! kongsikan lima cara untuk lindungi kulit sepenuhnya dari terdedah kepada cahaya matahari.
Sentiasa menghalang cahaya matahari dari terkena kulit.
Selaran matahari berisiko untuk memberikan kesan buruk pada kulit bermula jam 10 pagi hingga 4 petang. Elakkan dari melakukan aktiviti luar terlalu kerap. Jika anda sememangnya perlu berada di luar, pastikan anda memakai pakaian yang menutup seluruh kulit dari terkena cahaya matahari. Gunakan krim kulit yang mempunyai SPF yang tinggi. Topi dan pakaian yang berona gelap sebenarnya menyerap sinaran ultraviolet lebih tinggi dari fabrik kapas. Manakala pakaian yang kering mampu mengelakkan cahaya matahari lebih baik dari pakaian basah.
Gunakan krim pelindung sinar.
Adalah disarankan untuk kita menggunakan krim pelindung sinar dengan SPF sekurang-kurangnya SPF15. Pastikan kulit disapu rata dengan krim pelindung sinar dengan amaun yang banyak dan tebal kerana cahaya matahari masih boleh menembusi lapisan krim sebanyak 50% jika pemakaiannya tipis. Krim pelindung sinar kalis air adalah baik untuk digunakan kala melakukan aktiviti renang.
Sapu krim pelindung lebih awal.
Pastikan anda menggunakan krim pelindung sinar 20-3o minit sebelum terdedah kepada cahaya matahari untuk memastikan krim tersebut serap masuk ke dalam kulit dengan sepenuhnya. Ulangi sapuan pelindung sinar setiap dua jam. Untuk mereka yang berkulit cerah, pastikan anda menggunakan krim pelindung sinar sebelum masuk tidur untuk memastikan penyerapannya sepenuhnya ke dalam lapisan kulit. Sapukan krim pelindung sinar sekali lagi sebelum anda keluar terdedah di bawah cahaya matahari. Sinaran terik matahari juga boleh merosakkan kulit bibir dan menjadi punca dehidrasi. Gunakan lip balm yang hadir dengan SPF15 sekurang-kurangnya.
Lindungi telinga.
Selalunya, ramai yang lupa untuk melindungi bahagian kulit sensitif seperti cuping telinga, garisan rambut, bahagian V di dada, hidung dan kedua-dua belah tangan dari cahaya matahari. Menurut pakar kanser di Amerika Syarikat, majoriti kanser kulit terjadi pada bahagian kepala, leher dan tangan. Ia disarankan untuk memakai topi yang dijahit sempurna lebih baik dari menggunakan topi yang direka sedikit jarang.
Elak berjemur di tengah panas.
Boleh dikatakan semua pakar kulit tidak menyetujui akan aktiviti berjemur di tepi pantai. Kesannya amat buruk pada mereka yang berkulit cerah. Kebanyakannya, tidak semua yang berkulit putih mendapat kulit tan yang mereka idamkan, malah menjadi kesan terbakar pada kulit.