Bila bercuti usah malas untuk bersolek. Sempurnakan gambar OOTD kamu sewaktu bercuti dengan solekan sepadan.
EH! kongsikan lima solekan paling mudah namun efektif untuk rakaman selfie. Alatannya tak banyak, beg pun tak berat.
Pipi Pink Seperti Baru Bersenam
Lihat ke cermin tiap kali selepas anda berjoging keliling taman, wajah glowing dengan pipi kemerah-merahan. Mahu efek yang sama ketika bercuti? Gunakan pemerah pipi jenis krim. Senyum, dan tepek-tepekkan dengan jari pada buah pipi.
Tip: Bagi yang berkulit sedikit gelap pilih pemerah pipi dalam ton oren atau koral. Merah jambu bagi yang berkulit cerah.
Gincu Rona Pop
Fuchsia atau jingga pilihan yang segar untuk bibir kamu di musim percutian. Tidak perlu bersolek tebal jika kamu memilih menggayakan gincu terang kerana ia sudah cukup untuk membuat wajah tampil segar dan ceria. Pilih yang jenis pusam supaya ia tahan lebih lama.
Tip: Amaun pemerah pipi yang digunakan bergantung kepada warna gincu yang kamu guna. Jika gincu terang, minimumkan penggunaan pemerah pipi.
Kulit Glow
Berikan kulit kamu nafas sepanjang oercutian. Minimumkan penggunaan bedak asas. Sapukan wajah dengan pelembap dengan krim tabir suria, kemudian gunakan penyamar noda pada bahagian yang perlu saja seperti bawah mata atau parut jerawat. Kemudian layangkan sedikit highlighter pada tulang pipi, dahi, hidung, atas bibir dan dagu. Wajah kamu sudah sedia untuk selfie.
Tip: Usah sapu terlalu banyak highlighter pada wajah kerana ia mungkin buat wajah kamu tampak berminyak di dalam gambar.
Cat Eye
Tidak salah mahu bersolek dalam gaya klasik sewaktu bercuti. Gayakan saja penggaris mata berekor dalam gaya cat eye. Tebal atau nipis garisannya, terpulang. Sempurnakan solekan mata dengan sapuan mascara selapis dua. Elakkan stail mascara tebal dan bergumpal.
Tip: Biarkan bawah mata kosong tanpa warna untuk efek mata lebih segar. Bebas celak gelap.
Mata Bersinar Berkilau
Sekarang sedang hangat trend solekan mata berkilau, mungkin bagi kamu agak ekstravaganza untuk digayakan ketika bercuti. Tidak salah sebenarnya jika kamu memilih glitter yang tidak berwarna. Hanya pigmen kilat saja disalut pada kelopak mata.
Tip: Sapukan pembayang mata pigmen kilau dengan jari supaya kamu dapat mengawal sapuannya. Efeknya lebih bersahaja (effortless) berbanding berus.