L’Occitane perkenal ‘refill fountain’, satu langkah mengurangkan penggunaan bahan plastik, sekaligus menawarkan harga belian yang lebih rendah.
Kelestarian alam atau sustainability kini sudah menjadi objektif penting dalam mana-mana jenama, baik fesyen, kecantikan mahupun gaya hidup. Keprihatinan terhadap kesejahteraan alam sudah jadi keutamaan, malah pengguna juga semakin cerewet dalam pembelian. Bukan hanya apda kualiti, mereka juga hanya mahu menyokong jenama yang mengambil kira soal keselamatan dan kesan kepada alam.
Sebagai sebuah jenama yang banyak menggunakan bahan semula jadi, saya percaya L’Occitane sudah lama mengambil hal ini. Jadi tidak hairan apabila secara perlahan jenama yang berasal dari Provence, Perancis ini mengaplikasi pelbagai alternatif demi memelihara alam sekitar.
Tahun 2022 dibuka dengan satu lagi langkah L’Occitane dalam mengembangkan lagi langkah proaktif mereka dalam memelihara alam menerusi pembukaan stor hijau pertama mereka di Malaysia. Bertempat di Pavilion Bukit Jalil, stor ini mempunyai tarikan tersendiri.
Antara yang menjadi highlight pastinya Refill Fpuntain, yang mana pengguna setia (mahupun pengguna baharu), boleh membeli lima produk popular L’Occitane dengan cara isian semula. Hanya perlu bawa botol produk L’Occitane terpilih, dan isi sahaja. Boleh juga membeli botol yang disediakan mereka, dan ia hadir dalam dua isi padu yakni 250ml dan 500ml. Langkah ini boleh menjimatkan penggunaan 200 tan botol plastik. Lima produk yang ditawarkan di Refill Fountain ini ialah Almond Shower Oil, Verbena Shower Gel, Shea Verbena Liquid Soap, Intensive Repair Shampoo dan Intensive Repair Conditioner.
Dinding stor hijau ini juga punya tarikan tersendiri yang mana dihiasi dengan mural hasil lukisan pelukis bebas, Edna. Ia turut dihiasi dengan perhiasan yang diperbuat menggunakan 500 botol plastik kitar semula hasil dari 1.3 juta botol kosong yang dikumpul daripada pengguna L’Occitane sendiri.
Baca: Lima Item Penjagaan Kulit Terbaru Pilihan EH! Bulan Ini