Louis Vuitton menawarkan dua haruman istimewa dalam meraikan ketibaan Valentine’s Day, satu untuk kamu dan sebotol lagi untuk si dia. Étoile Filante dan Météore, bertambah asyik baunya saat bergandingan.
UNTUK KAMU
Jacques Cavallier Belletrud, pakar haruman Louis Vuitton menyajikan sebotol haruman baharu yang diberi nama Étoile Filante, dan seperti kebanyakan haruman Louis Vuitton sebelum ini, dia menyempurnakan haruman ini di Grasse, Perancis. Menurut Jacques, satu-satu haruman itu akan lebih besar ertinya andai dihasilkan berpandukan memori, dan baginya satu-satu bau itu punya rakaman kenangan yang bermakna bagi setiap orang. Satu-satu aroma itu bisa menerbangkan kita a ke satu destinasi yang pernah kita kunjungi, ataupun membuatkan kita teringatkan seseorang, pengalaman atau apa-apa sahaja.
Termasuklah haruman ini, Étoile Filante adalah penyatuan memori-memori zaman kecilnya yang membuatkan dia mahu menjadikan bunga osmanthus sebagais alah satu bahan utama. Bunga ini adalah kuntuman bunga yang cukup dia raikan sewaktu zaman kanak-kanaknya. Jacques jatuh cinta kepada keasyikan bau bunga yang tumbuh di selatan Perancis itu sejak dia berumur 11 tahun lagi.
Menerusi Étoile Filante , Jacques menyatukan osmanthus dengan keharuman bau kelopak-kelopak magnolia yang diimport dari China. Étoile Filante cukup kental aroma floranya, sesegar bunga-bunga yang sedang mekar berkembang di taman. Bau Étoile Filante tambah semarak dengan percikan bau aprikot serta sedikit buah strawberi. Ia juga bertambah asyik dengan kuntuman melati yang juga dipetik di Grasse. Étoile Filante, sebotol haruman yang menangkap emosi-emosi indah, meraikan kebahagiaan, menyinarkan hidup dengan harapan juga keasyikan.
Artikel Berkaitan: Bintang Baru Spiderman, Adria Arjona Wajah Haruman Armani
UNTUK DIA
Manakala untuk si jantung hati kamu, Louis Vuitton dan Jacques Cavallier Belletrud memperkenalkan Météore, sebuah haruman yang membawa definisi kepada kuasa dan cahaya. Jacques mencipta haruman ini berpandukan kepada imaginasinya melihat bagaimana peluang satu minit boleh mencetus perubahan kepada hari-hari mendatang dan untuk itu dia berpendapat haruman ini haruslah mencetus kepada kesegaran yang ekstra, yang memandu adrenalin lelaki untuk mula bertindak.
Jadi apa yang Jacques satukan dalam haruman terbaru ini? Dia mengahwinkan sitrus, bergamot yang dibawa dari Calabri, cetusan sitrus daripada Limau Mandarin dan oren Sicilian. Jacques tidak mahu nota-nota segar ini sekadar menjadi pembuka, dia mahu ia menjadi teraju utama kepada haruman baru ini. Dia turut menambah neroli yang membuatkan elemen sitrus lebih menonjol. Kedua-dua haruman boleh didapati di butik Louis Vuitton juga secara dalam talian di louisvuitton.com