Louis Vuitton La Beauté melangkah ke fasa baharu apabila memperkenalkan kolaborasi kecantikan pertama yang menghimpunkan dua nama penting di sebalik dunia kreatif Maison tersebut, iaitu Dame Pat McGrath, Pengarah Kreatif Kosmetik dan Nicolas Ghesquière, Artistic Director of Women’s Collections.
Dilancarkan bersempena sambutan 130 tahun Monogram Louis Vuitton, koleksi edisi terhad ini diterjemahkan menerusi dua ekspresi berbeza iaitu Monogram Dune dan Monogram Infrarouge. Kedua-duanya mengangkat identiti Monogram ke dalam dunia solekan, sekali gus mempertemukan warisan fesyen Louis Vuitton dengan visi artistik Pat McGrath.
Kolaborasi Pertama La Beauté Louis Vuitton
Walaupun ini merupakan kolaborasi kecantikan pertama antara Pat McGrath dan Nicolas Ghesquière untuk La Beauté Louis Vuitton, hubungan kreatif mereka sebenarnya telah terjalin sejak sekian lama. Pat McGrath telah bekerjasama dengan Nicolas Ghesquière di belakang tabir pertunjukan fesyen Louis Vuitton selama bertahun-tahun, menghasilkan solekan yang melengkapkan koleksi dan karakter wanita Louis Vuitton. Kini, hubungan kreatif tersebut diterjemahkan pula ke dalam koleksi kecantikan yang boleh dimiliki dan dipakai setiap hari.
Menurut Pat McGrath, koleksi ini tidak bermula daripada satu brief, sebaliknya lahir daripada hubungan kreatif dan persefahaman yang telah dibina bersama Nicolas Ghesquière selama bertahun-tahun. Bagi Nicolas Ghesquière pula, kecantikan sentiasa menjadi elemen penting dalam membentuk karakter sesebuah siluet. Menerusi La Beauté, visi tersebut kini diperluaskan daripada pentas peragaan kepada rutin kecantikan harian.
Monogram Dune: Lembut, Natural & Bercahaya
Jika anda gemarkan solekan bernuansa neutral, Monogram Dune membawa sisi Louis Vuitton yang lebih lembut dan bercahaya. Diinspirasikan oleh rona gurun, koleksi ini menampilkan palet warna beige, nude dan rona hangat yang memberikan hasil solekan lebih natural serta sofistikated. Louis Vuitton menggambarkan dunia Monogram Dune sebagai refleksi terhadap cahaya dan tona halus gurun, menghasilkan penampilan yang bersahaja tetapi tetap mewah.
Untuk koleksi ini, peminat kecantikan boleh menemui LV Ombres eyeshadow palette, LV Rouge lipstick dan LV Baume lip balm. Keseluruhan rona direka untuk membentuk penampilan yang lembut, bercahaya dan mudah dipadankan.
Monogram Infrarouge: Berani & Dramatis
Berbeza dengan Dune, Monogram Infrarouge hadir dengan karakter yang lebih berani dan intens. Terinspirasi daripada kombinasi hitam dan merah yang menjadi identiti Monogram Infrarouge, koleksi ini bermain dengan rona lebih gelap, termasuk warna burgundy, blackcurrant dan rona metalik untuk mata. Ia direka untuk menghasilkan penampilan yang lebih dramatik dengan kontras yang kuat.
Koleksi ini turut merangkumi LV Ombres eyeshadow palette, LV Rouge lipstick dan LV Baume lip balm dengan warna yang mencerminkan karakter wanita Louis Vuitton yang lebih berani dan yakin.
Palet Empat Warna Jadi Tarikan Utama
Antara produk yang paling mencuri perhatian ialah LV Ombres eyeshadow palette, yang hadir sebagai palet empat warna. Dua pilihan edisi terhad diperkenalkan, iaitu LV Ombres 724 Monogram Dune dan LV Ombres 715 Monogram Infrarouge. Monogram Dune menampilkan pilihan warna lebih lembut dan neutral, manakala Monogram Infrarouge membawa rona yang lebih gelap dan dramatik.
Menariknya, palet edisi terhad ini bukan sekadar mengenai warna. Monogram canvas turut diterapkan pada bekas kosmetik, menjadikan produk tersebut kelihatan seperti objek koleksi yang menggabungkan dunia kecantikan dan leather goods Louis Vuitton.
Gincu Satin & Lip Balm Untuk Kilauan Tambahan
Selain solekan mata, setiap dunia koleksi turut dilengkapi LV Rouge lipstick dan LV Baume lip balm. LV Rouge hadir dengan kemasan satin, manakala LV Baume memberikan sentuhan berkilau pada bibir. Untuk Monogram Dune, warna bibir lebih tertumpu kepada rona nude dan hangat, sementara Monogram Infrarouge tampil dengan pilihan warna lebih dalam dan berani.
Bukan Sekadar Solekan
Apa yang menjadikan kolaborasi ini lebih menarik ialah koleksi tersebut tidak berhenti pada produk makeup sahaja. Louis Vuitton turut memperkenalkan rangkaian aksesori kecantikan edisi terhad yang membawa kedua-dua identiti Monogram Dune dan Monogram Infrarouge. Antaranya termasuk Lipstick Pouches, Mini Vanities, brush sets dan aksesori berkaitan kecantikan, selain kertas minyak yang dihiasi motif Monogram.
Aksesori tersebut meneruskan DNA Louis Vuitton yang sinonim dengan dunia perjalanan, dengan objek kecantikan harian diberikan sentuhan seperti barangan mewah yang boleh dikumpul.
Rekaan Yang Refillable
Dalam aspek reka bentuk, koleksi ini turut mengekalkan konsep refillable. Louis Vuitton menyatakan bahawa produk eyeshadow, gincu dan balm mempunyai isi semula yang boleh dikitar semula, membolehkan bekas asal terus digunakan selepas produk habis. Pendekatan ini menggabungkan aspek praktikal dengan konsep objek kecantikan yang direka untuk disimpan dan dihargai dalam tempoh lebih panjang.
130 Tahun Ikonik Monogram
Tahun 2026 menandakan 130 tahun Monogram Louis Vuitton, menjadikan motif ikonik tersebut sebagai fokus utama kolaborasi ini. Daripada menjadi identiti pada beg, trunk dan barangan kulit Louis Vuitton, Monogram kini diterjemahkan ke dalam dunia kecantikan melalui tekstur, warna dan pembungkusan. Malah, koleksi ini menandakan antara penggunaan penting Monogram canvas pada produk La Beauté, menggabungkan dua dunia yang sememangnya telah lama berkait rapat iaitu fesyen dan kecantikan.
Dua koleksi ini juga sengaja direka dengan personaliti yang bertentangan. Monogram Dune mewakili sisi wanita Louis Vuitton yang lembut, bercahaya dan natural, manakala Monogram Infrarouge menampilkan karakter yang lebih berani, intens dan penuh keyakinan.
Koleksi edisi terhad Monogram Dune dan Monogram Infrarouge mula tersedia secara dalam talian pada 20 Ogos 2026. Jualan di butik pula bermula pada 27 Ogos 2026. Dengan gabungan kreativiti Pat McGrath, visi Nicolas Ghesquière dan warisan 130 tahun Monogram, koleksi ini bukan sekadar pelancaran makeup baharu. Ia menjadi satu lagi cara buat Louis Vuitton meneruskan bahasa kreatifnya kali ini melalui warna, tekstur, kecantikan dan objek yang direka untuk menjadi koleksi.
Artikel Berkaitan: Louis Vuitton Lancar Pensel Bibir LV Crayon, 10 Warna Mewah Mempesona










