Bronzing dan contouring adalah dua trik solekan berbeza, yang mana satu paling panas untuk musim ini?
Jika anda tanyakan pada saya satu trend solekan yang boleh dicuba (dan paling mudah) untuk musim ini, saya akan sarankan anda cuba lebihkan penggunaan bronzer pada tulang pipi. Usah silap, penggunaan bronzer tidak semestinya untuk mencipta kontur kerana bronzing dan contouring adalah dua perkara berbeza.
Ramai yang saya dapati menggunakan bronzer sebagai produk untuk mencipta kontur pada wajah mereka, dan itu akhirnya menyebabkan efek solekan mereka berbeza dari yang diharapkan. Contouring adalah trik solekan untuk membentukkan wajah, teknik ini bertujuan untuk menonjolkan struktur wajah; mengecilkan muka, hidung mahupun menaikkan tulang pipi juga mencipta rahan yang lebih tajam.
Berbeza dengan kontur, bronzing pula lebih kepada untuk ‘memanaskan’ ton kulit dengan efek ton gangsa yang sebahagiannya memberi sedikit percikan oren pada solekan. Biasanya bronzer akan dilayangkan apda bahagian wajah yang menangkap cahaya kerana teksturnya lazimnya ada partikel halus berkilauan, boleh kata bronzing ini samalah dengan cara kita menggunakan highlighter pada wajah.
Jangan Overdo!
Tapi satu persamaan antara kedua-duanya ialah jangan berlebih-lebih. Usah overdo bila melayangkan bronzer atau mencipta efek kontur pada wajah. Bila anda berlebih-lebih hasil solekan anda mungkin akan kelihatan amat menakutkan. Perlu tahu acara, lokasi juga suasana untuk anda merias wajah, mungkin ada ketikanya kontur yang sedikit ekstra diperlukan misalnya untuk penggambaran.
Artikel Berkaitan: 7 Tip Solekan Mesti Cuba Tahun Ini
Masa Untuk Bronzing!
Berbalik kepada bronzing, di pertunjukan himpunan Haute Couture musim bunga/panas 2021 Chanel minggu lalu menunjukkan bahawa trend bronzing akan kembali berada di dalam carta tahun ini. Lucia Pica, pengarah solekan kreatif dan warna Chanel cuba menonjolkan idea untuk melebihkan penggunaan bronzer untuk pertunjukan yang berlangsung di Grand Palais itu.
Les Beiges Healty Glow Sheer Powder chanel precision powder brush
Selepas mempersiapkan kulit model dengan mengoles Hydra Beauty Micro-Serum dan Hydra Beauty Camellia Water Cream, Lucia menyempurnakan kanvas wajah dengan sapuan bedak Ultra Le Teint, Ultrawear Compact Foundation. Kemudian, barulah dia melayangkan Les Beiges Healty Glow Sheer Powder pada tulang pipi.
Jika diamati betul-betul, cara Lucia Pica memakaikan pipi dengan bronzer ini sama seperti memakai pemerah pipi. Selain dilayang-layang pada tulang pipi, Lucia turut melayangkan lembut sisa-sia bronzer pada buah pipi. Tunggu apa lagi, keluarkan semula bronzer anda yang sudah lama tersimpan di dalam laci.
Artikel Berkaitan: Analisa Solekan Mata Jennifer Lopez di Tahun 2020