Haruman ikonik Marc Jacobs Daisy kini muncul dengan edisi terbaru, lebih pekat, lebih ‘gembira’.
Dilatari langit nan membiru, dan sesekali rambut menyentuh wajah Kaia Gerber saat angin bertiup lembut. Kaian berbalutan dengan gaun rona emas, begitu juga dengan temannya Adut Aketch. Kedua-duanya bergembira bersama di bawah pancaran matahari. Botol haruman ikonik Marc Jacobs Daisy digenggam erat jemari kedua-duanya. Berseronok dengan sisi kehidupan, membebaskan jiwa dan menikmati kebahagian, itulah yang mungkin mahu disampaikan menerusi kempen terbaru ini yang dirakamkan oleh jurugambar terkenal kelahiran Britain, Alasdair Mclellan.
“Bagi saya haruman membangkitkan pelbagai perasaan dan semangat, dan saya berpendapat haruman wanita hari ini merangsang pelbagai perasan, mood dan deria. Daisy bagi saya membangkitkan rasa kehidupan yang manis,” kata Marc jacobs tentang haruman Daisy.
Marc Jacobs Daisy sudah sedekad lebih usianya dan baunya sudah menambat banyak jiwa-jiwa serata dunia. Melihatkan botolnya saja kita sudah tahu apa namanya, sungguh masyhur rupanya. Terkini haruman ini ditampilkan dalam versi lebih pekat dan mewah, Daisy Eau So Intense. Seperti namanya, haruman ini dimonopoli kuntuman bunga daisi yang mana ia bukanlah ramuan popular dalam minyak wangi lain, lantas menjadikan haruman ini punya keunikan yang cukup tersendiri.
Minyak wangi ini diilhamkan oleh pakar haruman tersohor, Alberto Morillas yang mana dia mendapat inspirasi daripada kehangatan atmosfera saat matahari melabuhkan sinarannya yang melatari ladang bunga daisi. Untuk mewarnakan haruman ini, Alberto turut memercikkan buah strawberi dan pir berserta madu dan pucuk kuntuman bunga ros. Tidak cukup dengan itu, haruman ini juga bertambah unik dengan lumut hijau dan sedikit aroma vanila. RM395 (100ml).
Baca: English Pear & Freesia, Selepas Berdekad Masih Jadi Buruan Di Jo Malone