Kata Peter Philips, setahun yang dulu tiada siapa yang terfikir betapa berharganya peluang dapat memakai gincu, ramai menganggap ia sekadar rutin biasa, tiada siapa ambil kisah.
Saya diberi peluang duduk berbual secara maya dengan Peter Philips, pengarah kreatif dan imej Dior dua bulan sebelum himpunan Rouge Dior dilancarkan, dan antara soalan yang ditanyakan adalah tentang pemakaian gincu di era pandemik ini. Kata Peter Philips, memakai gincu hari ini adalah momen paling berharga. Ikuti temubual singkat saya bersamanya.
Apakah antara cabaran menyempurnakan koleksi Rouge Dior yang baharu ini?
Pertama sekali tentulah formulanya, kita naik taraf dengan fromula yang baru, kita banyak menggunakan bahan semula jadi termasuklah ekstrak bunga-bungaan. Proses mereka bungkusan yang baru juga mencabar, begitu juga dengan sistem aplikasinya, cara edaran dan dalam masa yang sama memastikan ia mesra alam. Kami mengekalkan apa yang sudah biasa kami lakukan dan secara perlahan menyuaikannya dengan konsep yang lebih hijau. Jika anda membeli gincu isian semula kami dapat mengurangkan suku penggunaan plastik dan satu pertiga tenaga. Proses ini semuanya akan dikembangkan secara perlahan, seperti manusia mulanya merangkak, kemudian berdiri dan barulah berlari.
Hari ini memakai topeng pelitup muka adalah satu kemestian, adakah pemakaian gincu itu masih penting?
Ini adalah satu soalan yang agak menyulitkan, tapi pada saya apa sahaja yang membuatkan kita berasa seronok atau gembira mestilah diteruskan walau apapun keadaaan atau situasinya. Walaupun orang tak nampak, tapi jika anda suka memakai gincu, pakailah. Sama juga seperti wanita yang memakai lingerie sewaktu tidur, tiada siapa yang nampak tapi mengapa mereka masih menyarungnya? Kerana ia buat mereka berasa gembira, berasa seronok. Sama juga dengan orang yang memakai rantai tapi menyembunyikannya di sebalik baju. Tiada siapa yang nampak tapi mereka berasa cantik memakainya. Keseronokan memakai gincu itu yang elok diteruskan. Terpulang bagaimana anda mahu memakainya.
Apakah tekstur atau kemasan gincu terbaik untuk dipakai sewaktu memakai topeng pelitup muka?
Sapukan lip stain. Anda juga boleh calitkan bibir dengan pensel bibir terlebih dahulu sebagai ‘alas’ kepada gincu, kemudian kemam bibir supaya lebihan warna dapat dibersihkan terlebih dahulu. Bila anda membuka topeng, cepat-cepat lihat cermin untuk kemaskannya jika comot. Elakkan glos bibir atau gincu yang berkrim. Disaster! Memakai topeng pelitup muka adalah sebahagian dari kehidupan kita hari ini tapi saya percaya gincu takkan hilang kuasanya. Hari ini memakai gincu adalah satu momen yang berharga. Apabila anda boleh berada di tempat yang anda fikirkan selamat untuk tidak memakai topeng pelitup muka, sama ada sewaktu bersama keluarga atau teman-teman, dapat memakai gincu tanpa memikirkan ia akan comot adalah satu momen yang sangat istimewa. Setahun yang dulu tiada siapa yang terfikir betapa berharganya peluang dapat memakai gincu, ramai menganggap ia sekadar rutin biasa, tiada siapa ambil kisah. Hari ini dapat memakai gincu adalah satu momen yang istimewa, membuat anda berasa sempurna, mungkin ada yang sudah lupa apa rasanya memakai gincu.
Artikel Berkenaan: Dior Makeup Perkenalkan Stick Blush Pertamanya
Boleh ceritakan tentang idea menghasilkan Rouge Dior dalam bentuk isian semula?
Idea ini adalah perjuangan saya sejak menyertai Dior lebih kurang enam tahun dahulu. Sebagai satu organisasi yang besar, ia memerlukan masa untuk melakukan sebarang perubahan. Memandangkan pelancaran Rouge Dior yang baru ini merupakan satu pelancaran besar secara global, jadi saya fikir ini adalah waktu terbaik untuk menghasilkan sesuatu yang mesra alam. Tapi ini bukanlah sesuatu yang baru di Dior, pada era 1950-an sewaktu awal-awal Dior melancarkan kosmetik, gincu ketika itu sememangnya terdapat dalam bentuk isian semula. Idea sebegini tidak lagi satu strategi pemasaran tapi adalah satu tanggungjawab demi memastikan produk kita lebih hijau. Sebelum ini kita pun sudah memperkenalkan bedak kusyen dalam bentuk isian semula. Perubahan ini berlangsung secara perlahan-lahan.
Rouge Dior hadir dalam 75 warna, boleh pilih satu warna yang menjadi kesukaan peribadi?
Susah hendak memilih satu warna tapi jika minta memilih saya pilih 999 dan memandangkan ia adalah warna ikonik saya dan Dior hadirkan warna ini dalam empat kemasan berbeza iaitu velvet, satin, pusam dan metalik. Tapi saya tak kata yang warna ini akan jadi kesukaan semua orang, ia mungkin cantik pada anda tapi belum tentu orang lain. Kesesuaiannya bergantung pada siapa yang memakainya. Sebab itulah kita sajikan 75 warna supaya ada sekurang-kurangnya satu yang sesuai dengan setiap wanita.
Artikel Berkenaan: Solekan Mata Jadi Fokus Dior Makeup di Musim Bunga