Tanpa alkohol? Ya, Dior sajikan penggemar aromanya dengan J’Adore Parfum D’eau, minyak wangi dengan inovasi baharu.
Aras lima Colony Star, Jalan Yap Kwan Seng bermandikan rona putih. Fabrik lembut menjadi tirai yang mengiringi langkah setiap tetamu yang datang lewat petang itu. Hari itu hari bersejarah buat Dior kerana buat pertama kalinya mereka akan memperkenalkan haruman debut mereka yang bebas sebarang penggunaan alkohol. Ia satu sejarah besar dalam dunia haruman Dior sendiri.
J’Adore bukanlah bintang baharu dalam keluarga minyak wangi Dior. Ia sudah jadi ikon penting dan punya pengikutnya yang tersendiri. Jadi apabila J’Adore Parfum D’eau diperkenalkan dan membawa pula khabar yang ia bebas alkohol, pastinya ia diterima baik oleh penggemar J’Adore sendiri.
Kepakaran Dior dalam mengolah haruman semakin ke hadapan, dan inovasi haruman ini adalah bukti bahawa mereka sering sahaja berfikir bagaimana mahu menduga dunia pembikinan minyak wangi. Dari air menjadi haruman itulah falsafah penghasilannya, dan tanpa alkohol sekalipun Dior berjaya menghasilkan sebotol haruman yang ‘mekar berkembang’ aromanya setanding yang mengandungi alkohol. Kuntuman melati sambac, bunga magnolia Cina, bunga mawar damscena dan honeysuckle membuatkan minyak wangi dalam kelalang putih ini cukup sempurna di mata pencintanya.
Meraikan kedatangan haruman ini, EH! mahu sekali mendengar apa kata para selebriti yang diundang. Kami mahu melihat bagaimana mereka bereaksi bila mendengar haruman ini dihasilkan tanpa alkohol. Kami juga mahu tahu bagaimana mereka menyembur haruman, kerana lain orang lain caranya.