Paco Rabanne memercikan lebih unsur kemewahan pada dua haruman ikoniknya, 1 Million Royal Eau de Parfum dan Paco Rabanne Lady Million Royal Eau de Parfum.
Haruman yang dibotolkan dalam bentuk jongkong emas ini antara yang ikonik bekasnya, dan secara jujurnya bagi saya reka bentuk botol ini memang seiring dengan namanya. Ia memang mencerminkan definisi ‘million’ itu sendiri, sebuah aura kemewahan buat orang ada-ada.
Selepas bertahun-tahun di pasaran, Paco Rabanne merasakan sudah tiba masa untuk mereka menaik taraf dua haruman terkenal mereka ini, maka 1 Million dan Lady Million kini hadir dengan lebih mewah menerusi Paco Rabanne 1 Million Royal Eau de Parfum dan Paco Rabanne Lady Million Royal Eau de Parfum. Dan seiring dengan arus semasa yang mementingkan hal kelestarian alam, dua haruman ini juga diperbuat menggunakan 79 peratus bahan-bahan semula jadi, dan haruman ini juga dikelasfikasikan sebagai vegan.
Paco Rabanne Lady Million Royal Eau de Parfum
Jika ditanya satu mesej dan objektif utama yang mahu dibawakan oleh minyak wangi ini, jawapannya mudah, feminin. Paco Rabanne mahu mana-mana wanita yang menyembur haruman ini berkobar-kobar semangat femininnya, menghembus aura glamor dan kemewahan sebagai seorang wanita, atau yang mereka istilahkan sebagai ‘golden girl’.
Minyak wangi ini diperindah dengan campuran buah delima (membuatkan ia beraroma segar) dan disatukan dengan jambangan bunga yang terdiri dari kuntuman bunga melati (orange blossom jasmine) dan tuberose. Patchouli dan limau Mandarin memercikan sentuhan sitrus pada haruman ini. Paco Rabanne Lady Million Royal Eau De Parfum RM524 (80ml).
Paco Rabanne 1 Million Royal Eau de Parfum
Haruman buat lelaki ini menggabungkan pelbagai ramuan berbau sedap seperti limau Mandarin, bergamot, cardamon, daun violet, lavender, sagei berserta patchouli dan juga kayu sedar.
Wajah baharu haruman ini diformulakan dengan satu matlamat untuk mendefinisi semangat juang seorang lelaki. Haruman ini kental bau kayu-kayannya dan percikan lavender membuatkan haruman ini sedikit ‘nakal’ dan kehadiran benzoin disifatkan sebagai elemen magnetik pada keseluruhan minyak wangi ini. Paco Rabanne 1 Million Royal Eau de Parfum, RM374 (50ml) dan RM482 (100ml).