Menjelangnya Hari Raya minggu hadapan, masih sempat rasanya membeli haruman baru untuk menyempurnakan penampilan di pagi 1 Syawal. Bukankah sunat berwangi-wangi di pagi Hari Raya? EH! bariskan empat pilihan untuk lelaki Aidilfitri ini.
Bulgari Pour Homme Eau de Parfum, RM404 (50ml) & RM617 (100ml)
Saya membuka kiriman dari Bulgari, sebuah kotak hijau berisi minyak wangi dalam botol jernih. Warna ‘minyaknya’ hijau cair. Saya keluarkan dari kotak dan semburkan pada pergelangan tangan. Saya rasa baunya seksi, ada unsur ‘sporty’ namun dalam adunan yang lebih mewah dan pekat. Satu haruman yang boleh jadi akan saya sembur hari-hari.
Selepas sukses dengan edisi EDT, Bulgari Pour Homme kini disajikan dalam aroma yang lebih pekat dan mewah dalam nuansa Eau de Parfum. Diilhamkan oleh maestro dunia pembikinan haruman, Jacques Cavallier, minyak wangi ini menggabungkan bahan-bahan seperti teh Ceylon, halia dan inti pati berunsurkan sitrus serta guaiac wood. Saya bagaikan sudah boleh bayangkan bagaimana cucuknya bau Bulgari Pour Homme Eau de Parfum dengan penampilan segak berbaju Melayu di pagi Syawal.
L’eau d’Issey Pour Homme 125ml, RM445
Entah mengapa tapi saya rasa untuk Hari Raya, haruman yang segar berunsurkan bahan-bahan sitrus, atau ‘pedas-pedas’ sikit berempah paling sesuai dengan suasana Aidilfitri. Mungkin haruman sebegini baunya ‘bersih’, dan bulan Syawal itu adalah keraian mulia, jadi yang ‘bersih’ itulah yang paling sesuai. Haruman ini adalah yang ikonik berpuluh tahun lamanya. Apa kata lebaran ini lelaki semburkan sesuatu yang malar segar.
Carolina Herrera Bad Boy Extreme Eau de Parfum, RM504
Aroma hangat yang terbit dari gandingan halia segar bersama vetiver. Kemesraan koko bersama kayu-kayan dan patchouli pula menonjolkan imej lengkap pada sebuah haruman buat jejaka. Apa yang menarik lagi tentang minyak wangi ini? Zahirnya tentulah pada botolnya sendiri, bukan konvesional gayanya.
Rabanne Phantom Eau de Toilette, RM429
Rabanne memang terkenal dengan seleksi harumannya, dan bukan saja pada baunya, malah botol yang satu ini sangatlah unik. Semerbak aroma Phantom Eau de Toilette datangnya dari vanila, vetiver dan mineral musk yang teradun, membuatkan karakter haruman ini kental dengan imej nota-nota alam. Ini pilihan untuk jejaka yang senang dengan aroma ‘keras’ namun tak menusuk hidung, masih ada rasa ‘segar dan ringan’.
Kesemua haruman yang tersenarai di atas boleh didapati di Sephora termasuk dalam talian di pautan INI!
BACA: Dior Sauvage Kini Muncul Dengan Himpunan Penjagaan Kulit Lelaki