Bila tiba musim panas, kita akan dilambakkan dengan bermacam-macam minyak wangi baru. Dan setiap satunya pula datang dengan tarikan tersendiri yang diisi dengan berjenis-jenis ramuan yang menjadi umpan memikat deria bau. EH! bariskan empat paling mewah, paling terkini, paling wangi!
LES EXCLUSIFS DE CHANEL, COMÈTE
Chanel memperkenalkan haruman eksklusif ke-19 dibawah rangkaian mewahnya, Les Exclusifs De Chanel. Dinamakan sebagai Comete, haruman ciptaan Olivier Polge ini diinspirasikan dari sumber inspirasi lazim Coco Chanel sendiri iaitu bintang dan komet. Malah dua ciptaan agung Tuhan ini adalah inspirasi utamanya dalam melancarkan koleksi perhiasan diri mewah Chanel pada tahun 1932.
Bagi haruman premium terbaru Chanel ini, Olivier Polge menyesenyawakan cherry blossom bersama ekstrak kuntuman iris dan juga musk. Pada percikannya dapat disimpulkan haruman ini cukup powdery yang cukup segar, mencipta suasana yang klasik namun dalam atmosfera yang lebih moden. Haruman ini hadir dalam dua isi padu, 75ml dan 200ml.
LOEWE PAULA’S IBIZA COSMIC EDP
Dari botolnya sudah dapat dijangka, haruman terbaru Loewe Paula’s Ibiza Cosmic EDP adalah sebuah bau-bau yang dicipta untuk musim panas. Haruman di bawah rangkaian Paula’s Ibiza ini menampilkan gabungan semerbak buah-buahan seperti buah pir, kayu-kayan yang terdiri dari kayu sedar dan cendana dan juga amber.
Cosmic EDP sebuah haruman uniseks yang cukup playful, ceria dan penuh dengan imaginasi eksperimentasi. Bintang sensasi Korea Selatan, Taeyong disunting sebagai wajah global buat haruman yang dibotolkan dalam kelalang kuning-merah ini. Kunjungi Escentials Suria KLCC and The Exchange TRX untuk mencuba haruman segar-bugar ini.
CELINE ZOUZOU
Celine Haute Parfumerie yang mula dilancarkan pada tahun 2019 kini menambah satu lagi aroma yang mengasyikan dan dinamakan sebagai Zouzou. Ini merupakan bauan ke-12 di bawah keluarga haruman yang diperkenalkan oleh Hedi Slimane.
Mengangkat era mode 1960-an sebagai inspirasi, Celine menganggap Zouzou adalah sebagai sebuah ‘A Fragrant Portrait of Youth’. Menyempurnakan Zouzou, haruman ini menyatukan amber dan musk, dan ditambah pula dengan karamel dan kacang tonka. Apa yang boleh saya simpulkan saat menyembur Zouzou buat kali pertama; mewah, classy dan malar segar. Ia sebuah haruman untuk semua musim, sepanjang tahun dan kekal relevan biar berganti era. Menemui anda bermula Jun ini dengan harga RM1,950 (200ml), RM1,350 (100ml) dan ada juga dalam semburan isian semula, sesuai untuk kembara.
PENHALIGON, AlUla EAU DE PARFUM
Lada hitam, akar kunyit, plum dari Madagascar, safron, vanila, minyak cardamon dari Guatemala, tembakau, patchouli dan minyak olibanum organik disatukan maka terhasillah AlUla, haruman mewah terbaru Penhaligon. Diinspirasikan dari suasana kering oasis dan sinar mentari merah samar, AlUla ditafsirkan sebagai sebuah haruman musim panas yang hangat namun menyamankan.
AlUla Eau de Parfum bukan sekadar haruman yang biasa-biasa, bagi Penhaligon ia sebuah karya seni yang seharusnya diraikan. Boleh dimiliki di kiosk Penhaligon yang terletak di Pavilion KL, juga di Escentials Suria KLCC and The Exchange TRX. Penhaligon’s AlUla Eau de Parfum, RM1355 (100ml).