Selain hal baju, solekan juga mestilah dititik beratkan tiap kali berlangsungnya pertunjukan fesyen. Bagai irama dan lagu, begitu juga halnya di antara fesyen dan kecantikan, masakan boleh diceraikan. EH! mengutip butiran bual bicara bersama Luca Pica, figura yang bertanggungjawab mencipta gaya solekan pertunjukan Chanel musim luruh/dingin 2020 yang berlangsung di Paris minggu lalu.
Apakah inspirasi kepada solekan kali ini?
Saya mahukan solekan yang segar dan ditambah rencah era 70-an. Solekan ini menterjemahkan gaya gadis-gadis yang mahu berseronok dengan pipi berpercikan ton merah dan kulit pula tampak berseri-seri. Calitan glos pada bibir untuk efek lebih glamor.
Boleh ceritkan sedikit tentang solekan pertunjukan ini?
Ada dua gaya solekan kali ini. Yang pertama ultra semula jadi, sangat segar dan berseri. Saya gunakan LES BEIGES EAU DE TEINT dan PALETTE ESSENTIELLE. Pada bulu mata pula saya sapukan LE VOLUME RÉVOLUTION DE CHANEL dan saya sudahi dengan ROUGE COCO GLOSS Aphrodite.
Untuk gaya yang lagi satu pula asasnya masih sama tapi pada bahagian mata saya tambah dengan sapuan pembayang mata warna taupe untuk mata yang lebih galak. Dan saya tambahkan STYLO OMBRE ET CONTOUR Contour Clair sepertikan sapuan penggaris mata dan bawakan ke garis kelopak (bagaikan soket).
Ada sebarang tip profesional yang mahu dikongsikan?
Saya gunakan pemerah pipi pada bahagian atas tulang pipi dan mesrakannya ke bawah untuk efek lebih semula jadi.
Boleh beritahu produk yang kamu suka untuk sempurnakan gaya solekan kali ini?
Saya sangat sukakan BAUME ESSENTIEL Transparent kerana ia berikan efek solekan ‘basah-basah’. Ia menjadikan solekan tampak moden dan mesra cahaya.