Langkah riasan wajah lelaki seharusnya lebih ringkas dan paling penting kelihatan semula jadi, tidak berlebih-lebih dan masih mengekalkan ciri maskulin. Rahsianya? Ada pada langkah penting dan produk pilihan yang tepat.
Hari ini solekan bukanlah sesuatu yang tabu di kalangan lelaki. Hari ini semakin ramai lelaki bersikap lebih terbuka dengan solekan dan tidak malu mengaku mereka menggunakan alat solek. Lihat sahaja di majlis perkahwinan, pengantin lelaki juga sudah punya penata rias mereka sendiri. Bukan sahaja untuk memakaikan samping, mereka juga mahu ditatarias. Namun di sebalik keterbukaan ini, majoritinya masih percaya solekan terbaik untuk lelaki adalah yang masih kelihatan natural dan tidak mengurangkan sedikit pun karakter diri mereka sebagai lelaki.
EH! menghubungi jurusolek selebriti, Razzi Musa untuk berkongsi produk yang lazim dia gunakan untuk menata wajah selebriti lelaki. Jika ada yang tidak tahu, Razzi Musa adalah jurusolek kegemaran Hael Husaini kebelakangan ini, menjadi pilihan Hael untuk kemunculannya di Big Stage Rocketfuel.
LANGKAH 1- PREP
Razzi mulakan dengan prep kulit terlebih dahulu dan kesukaannya ialah Jungsaemmool Essential Tool Micro Fitting Mist. Kemudian ratakan wajah dengan Bobbi Brown Vitamin Enriched Face Base – Moisturizer and Primer. Ini antara krim pelembap kesukaan ramai jurusolek selebriti. Selain berfungsi menghidratkan kulit malah dia juga berfungsi sebagai primer.
LANGKAH 2- COVER
Biasanya untuk lelaki, Razzi lebih suka menggunakan Chanel Les Beiges Health Glow Bronzing Cream, khususnya untuk mereka yang tidak mempunyai masalah kulit. Dia akan ratakan pada seluruh wajah. Dan jika memerlukan corrector atau concealer, dia akan gunakan Alha Alfa Concealer Corrector (Correct + Reduce).
Bagi kulit yang bertekstur atau memerlukan lebih coverage, Razzi biasanya menggunakan Makeup For Ever HD Skin-All-In-One Palette. Liputannya lebih menyeluruh namun tidak terasa tebal. Dan untuk menyamar cela dia juga gunakan Laura Mercier Secret Camouflage Concealer.
LANGKAH 3- KONTUR
Untuk memberi dimensions pada wajah, kontur juga perlu untuk lelaki tapi perlu nampak bersahaja, tidak melebih-lebih. Kesukaan Razzi ialah Peripera V-Shading Detail. Tekstur dan kemasannya tampak semula jadi.
Dan jika bersesuaian, dia juga akan melayangkan pemerah pipi dan kesukaannya ialah rom&nd Better Than Cheek.
LANGKAH 4- KENING
Untuk riasan kening, Patrick Ta Major Brow Lamination Gel menjadi pilihan. Razzi biasanya akan kemaskan kening menggunakan gel ini.
LANGKAH 3- SEAL
Menurut Razzi untuk ‘seal’ solekan dia ada dua cara. Jika kliennya mempunyai kulit yang mudah berminyak barulah dia menggunakan bedak untuk mengunci solekan. Biasanya dia gunakan Charlotte Tilbury Airbrush Flawless Finish Powder dan dilayangkan pada T-zone (hidung dan dahi).
Jika kulit yang normal atau kering, Razzi akan skip penggunaan bedak dan kunci solekan dengan menggunakan setting spray. Kesukaannya ialah dari jenama One/Size On Til Dawn Setting Spray. Tapi khusus untuk Hael, Razzi suka gunakan Sea Makeup Stayput Glow Fix Setting Spray kern ia buat solekan tahan lebih lama, lebih-lebih lagi untuk penggambaran yang panjang.












