Buat pertama kalinya Chanel memanipulasi manfaat hebat yang ada di dalam bunga camelia merah menerusi himpunan lengkap N°1 de Chanel.
Di Chanel, usia bukan faktor utama dalam penjagaan kulit. Bagi jenama kelahiran Paris, Perancis ini, penjagaan kulit adalah satu rutin untuk semua. Begitu juga bila memilih rangkaian yang bersesuaian. Pertimbangan dalam memilih mana yang sesuai harus berpandukan kepada keadaa kulit juga gaya hidup. Begitulah juga dalam penggunaan rangkaian anti-penuaan, ia tidak semestinya tertumpu pada kelompok yang sudah berusia, sesiapa sahaja boleh memulakan rejim penggunaannya lebih-lebih lagi bagi wanita kota yang sentiasa sibuk dengan rutin harian; bekerja, kehidupan sosial juga peribadi. Kesibukan membuatkan berlakunya tekanan, kurang tidur, waktu makan yang tidak tepat, pendedahan kepada cahaya matahari, dan ini semua ada impaknya pada kesihatan kulit. Garis halus, kulit kering, kedutan, pigmentasi dan bermacam-macam lagi isu kulit akan muncul.
Menyedari keperluan wanita hari ini, Chanel menerusi rangkaian terbarunya, N°1 de Chanel mahu mempersiapkan wajah anda untuk kental berhadapan dengan cabaran tanda-tanda penuaan dengan satu rangkaian penjagaan kulit lengkap, dari mencuci, melembap, solekan hinggalah ke semburan haruman.
Tambah menarik, N°1 de Chanel adalah sebuah koleksi yang sangat mementingkan hal kelestarian (sustainability), jadi penghasilannya sangat teliti, dari kajian, penghasilan produk hinggalah pembungkusannya. Pemilihan tekstur dan bahan mengambil kira impaknya kepada alam sekitar namun dalam masa yang sama tidak mengetepikan hal keberkesanannya pada kulit. Kedua-dua hal ini diseiringkan demi satu koleksi yang berkesan dan berkualiti. Bunga camelia merah diguna sebaiknya dalam koleksi ini malah ia juga dijadikan sebagai bahan untuk menghasilkan penutup produk koleksi ini. Chanel menjalin kerjasama dengan Sulapac, sebuah organisasi berpusat di Finland untuk mempatenkan penutup ini.
Kuasa Camelia Merah
Sempena pelancaran ini, EH! Berbangga menjadi media terawal yang diperkenalkan dengan koleksi yang sangat eksklusif ini. Bukan sahaja diperkenalkan malah EH! Juga dibuka peluang untuk menemubual dua individu penting di sebali penghasilan himpunan ini iaitu Nathalie Volpe (Pengarah Inovasi, Kajian dan Pembangunan Antarabangsa, Chanel Research and Innovation Vision, dan juga Armelle Souraud, Pengarah Komunikasi Saintifik.
Apa yang membuat himpunan ini sangat menarik selain dari menjadi himpunan Chanel pertama yang lengkap (penjagaan kulit, solekan dan haruman), himpunan ini adalah yang pertama berformulakan kebaikan bunga camelia merah. Kuntuman camelia merah yang mekar berkembang pada musim dingin membuahkan idea buat Chanel untuk mengkaji apakah inti pati yang membuatkannya mampu segar di saat suhu menjunam rendah. Para saintis Chanel mula membibitkan hasrat mahu mengkaji bunga camelia merah, bagaimana ia segar berkembang pada musim dingin walhal kebanyakan bunga-bunga lain tiada daya untuk hidup sekalipun, apatah lagi mengharum.
“Camelia putih adalah hebat dengan manfaat melembap dan penghidratan, manakala camelia merah adalah pakar anti-penuaan yang menyegarkan kulit. Satu penemuan yang sangat menarik ialah apabila saintis menguji keberkesanan ekstrak camelia merah, mereka mendapati bahawa ekstrak ini meningkatkan daya hidup selular dalam keadaan tertekan sebanyak 67 peratus, itulah sebabnya kami benar-benar memutuskan untuk memanfaatkan ekstrak ini dan meletakkannya di tengah-tengah barisan kecantikan baharu ini,” jelas Armelle Souraud tentang manfaat bunga camelia merah yang menjadi kunci utama kepada penghasilan rangkaian ini.
Chanel mengambil masa lebih dua tahun untuk mengkaji manfaat yang ada di dalam bunga camelia merah. Jika sebelum ini Chanel sudah mengguna pakai manfaat bunga camelia putih seperti yang disalurkan di dalam rangkaian Hydra Beauty, Chanel nampaknya terus terpesona dengan keindahan dan kuasa kuntuman Camelia.
Chanel dan bunga camelia tidak dapat dipisahkan. Bermula dengan pemerhatian kepada bunga camelia sejak tahun 1998, Chanel melakukan pemerhatian menyeluruh di ladang bunga camelia di Gaujacq yang terletak di barat daya Perancis. Ladang bunga camelia di Gaujacq dijadikan sebagai makmal terbuka buat Chanel, menemukan penjagaan tradisi dan inovasi dalam memaksimumkan kajian juga manfaat bunga kegemaran Gabrielle Chanel ini.
Antara bahan yang ditemui di dalam bunga camelia merah ialah asid protocatechuic yang bermanfaat dalam melindungi kesegaran dan tenaga kulit, yang mana biasanya tanda-tanda awal penuaan ialah kulit kelihatan semakin kurang bermaya. Asid protocatechuic menyuntik sinar dan tenaga pada kulit agar kelihatan segar. Bunga camelia merah juga mewah dengan polyphenols, yang mana polyphenols mempunyai antioksidan yang secara terangnya bermanfaat dalam menentang penuaan awal. Polyphenols memperkasakan kulit agar mampu bertahan dengan kesan radikal bebas, pencemaran serta sinaran UV.
Chanel sudah lama menitikberatkan hal kelestarian alam dalam proses penghasilan produknya, namun itu bukanlah hal yang mahu diwar-warkan selama ini. Namun menerusi koleksi terbaru ini, Chanel secara terbuka berkongsi inisiatif mereka dalam menyokong isu kelestarian atau sustainability. “Kami berhadapan sedikit cabaran kerana pendekatan kami ada dua matlamat, pertamanya untuk memastikan keberkesanan produk ini secara fizikal dengan memaksimumkan keberkesanan ekstrak camelia merah yang digunakan. Dalam masa yang sama juga kami perlu peka akan hal kelestarian (sustainability),” jawab Nathalie Volpe.

Rangkaian Lengkap N°1 de Chanel
Seperti yang disebutkan tadi, N°1 de Chanel adalah rangkaian Chanel pertama yang lengkap dibangunkan dari item penjagaan kulit, solekan hinggalah haruman. Semuanya diletakkan di bawah satu nama, satu koleksi. Antara yang menjadi highlight buat koleksi ini tentunya pencuci wajahnya yang hadir dalam bentuk serbuk, yang bila digunakan bertukar menjadi buih. Salah satu faktor yang membuatkan Chanel mahu menerokai idea powder-to-foam ini adalah faktor kelestarian. Sementelah koleksi ini menjadi koleksi Chanel yang menguar-uarkan idea kelestarian, jadi mereka cukup teliti dalam penghasilan koleksi ini. Pencuci muka lazim biasanya banyak menggunakan air dalam kandungannya, memandangkan isu kelestarian menjadi salah satu hal yang dititik beratkan dalam isu ini, Chanel mengambil keputusan untuk menghasilkan pembersih wajah dalam bentuk serbuk. Maka terhasillah Red Camellia Cleaning Powder to Foam Cleanser.
Himpunan penjagaan kulit N°1 de Chanel dibangunkan dengan lima objektif yakni mahu mengurangkan garis halus dan kedutan, mengecilkan pori wajah, mengekalkan keanjalan kulit, menyelesaikan isu ketidakselesaaan kulit yakni berkaitan dengan penghidratan dan juga memberi perhatian dalam mengekalkan wajah yang berseri-seri.

Wajib anda cuba ialah Red Camellia Revitalizing Serum yang mana ia dicipta untuk mengelakkan lima tanda penuaan dan ia mengandungi 76 peratus bahan manfaat bunga camelia. Teksturnya jernih dan mudah diserap kulit. Sapukan serum ini pada wajah yang sudah disapu rata dengan losen, Red Camellia Revitalizing Lotion.
Lengkapkan rejim belaian kulit anda dengan olesan krim mata, Red Camellia Eye Cream dan pelembap, Red Camellia Revitalizing Cream. N°1 de Chanel juga disempurnakan dengan semburan wajah Red Camellia Serum-In-Mist, yang mana air camelia bertindak melindungi kulit dari pencemaran. Boleh juga dijadikan sebagai semburan wajah usai siap bersolek.
Di satu majlis previu eksklusif himpunan ini, saya mencuba kesemua item yang ada termasuklah alat soleknya yang dibarisi dua produk iaitu bedak asas Red Camellia Revitalizing Foundation dan salap untuk pipi dan bibir, Red Camellia Lip and Cheek Balm. Saya terpesona dengan dua produk ini, tekstur bedak asasnya ringan dan boleh dioles dengan mudah biarpun menggunakan jari. Mudah sekali meratakannya.
Salap pipi dan bibirnya juga menarik, dibarisi beberapa warna yang chic, saya calitkan pada pipi ton Healthy Pink dan pada bibir saya calitkan pula Wake-Up Pink, saya tertarik melihat hasilnya. Wajah kelihatan segar dan semula jadi, wajah saya tidak nampak seperti memakai solekan.

Akhir sekali, N°1 de Chanel tambah sempurna dengan haruman yang tampil dalam kelalang merah, L’eau Rouge. Baunya saya anggap bersifat uniseks, sesiapa sahaja molek menyemburnya. Baunya tidak mencucuk hidung, terasa ringan dan terasa segar sepanjang hari. Kesemua item ini sudah boleh dimiliki di butik kecantikan Chanel dan juga secara dalam talian di e-shop Chanel.

Baca: 7 Soalan Bersama Angele, Gadis Baharu Suntingan Chanel