Bermula dengan Miss Dior Cherie, Natalie Portman sudah menjadi wajah rasmi Miss Dior sejak tahun 2011 lagi. Sejak 13 tahun dulu pelbagai kempen haruman pertama yang dilancarkan Dior ini sudah disempurnakan oleh bintang ‘The Black Swan’ ini. Saya mewakili EH!, duduk berpandang empat mata dengannya untuk bertanyakan 12 soalan.
Miss Dior sering dikaitkan dengan cinta dan nuansa romantis, apa maksud cinta bagi kamu?
Bagi saya cinta itu ialah memberi perhatian kepada seseorang khususnya apa yang mereka perlukan, dan kita hanya mahu membuat mereka berasa segembira yang boleh.
Seperti tagline yang kamu ungkapkan di dalam kempen ini ‘what would you do for love?’, jadi apa yang akan kamu lakukan untuk cinta?
Saya berpindah melangkaui dua benua dan itu sudah cukup sejauh mana saya berkelana demi cinta.
Pada padangan kamu, Miss Dior dicipta untuk siapa?
Buat wanita yang tidak takut, berasa bebas dan seorang yang passionate.
Apa yang kamu suka tentang Miss Dior yang baru ini?
Saya sukakan esen bunga melati (jasmine) yang dijadikan titik tumpu pada aroma yang baru ini. Saya selalu berasa dekat dengan jasmine kerana saya punya banyak memori berkait dengannya. Saya memang suka haruman yang mengandungi bunga melati.
Boleh kongsi bagaimana biasanya kamu menyembur haruman?
Saya masik mengamalkan cara yang ibu saya ajar dari dulu lagi. Semburkan ke udara dan berjalan di bawa semburan.
Kamu sudah beberapa kali merakam video kempen Miss Dior, apa perasaannya setiap kali kamu berada di set Miss Dior?
Saya sentiasa berasa teruja tiap kali tiba masa untuk penggambaran kempen Miss Dior. Saya sentiasa berasa bertuah diberi peluang untuk berada di set penggambaran yang menakjubkan seperti yang terbaru di Costa Brava, Sepanyol. Saya rasa seronok dapat terjun ke dalam laut.
Apa perasaan kamu setiap kali terbau Miss Dior?
Ada banyak tapi yang pasti saya akan selalu teringatkan momen merakamkan kempen sulung saya untuk Miss Dior bersama Sofia Coppola, ada reben hitam besar, dan udara sarat dengan apungan bau bunga mawar dan terlalu banyak pengalaman dan memori yang berkait dengan haruman ini.
Selain cinta, apa perkataan lain yang tepat mendefinisi karakter haruman ini?
Passion and independent.
Adakah pengalaman sebagai aktres merubah pandangan kamu tentang kecantikan?
Bagi saya kita terlalu banyak memberi tumpuan pada kecantikan dan penuaan, dan itu adalah sesuatu yang dilalui oleh semua orang. Bagi saya penuaan itu adalah sesuatu yang mengujakan, dan kita seharusnya menghargai kecantikan dengan apa yang seseorang wanita itu boleh tawarkan pada setiap peringkat usianya.
Apakah nasihat kamu buat gadis serata dunia hari ini?
Fokus pada apa yang kamu mahu bukan apa yang orang lain mahu. Bagi saya adalah sangat penting untuk memberi tahu orang lain apa yang kamu mahu selain mendengar kata-kata orang semata. Kamu juga perlu mendengar bisikan hati sendiri.
Sebagai seorang aktres yang juga menjadi duta jenama kecantikan yang masyhur, apakah mesej yang ingin kamu sampaikan tentang kecantikan kepada generasi akan datang?
Bagi saya kecantikan itu adalah satu ekspresi diri, satu kenyataan identiti diri yang membuatkan kamu gembira. Jika mengoles gincu membuatkan kamu seronok atau mempunyai haruman yang menjadi identiti diri, itulah yang harus kamu fokuskan.
Selain bau minyak wangi, bauan apakah lagi yang sentiasa membuatkan kamu berasa gembira dan tenang?
Bau ibu saya dan juga anak-anak saya. Itulah bau yang menjadi kesukaan saya. Saya sukakan bau bunga mawar dan juga orange blossom kerana bagi saya orange blossom baunya sangat California.