Enam personaliti, enam gaya berbeza tetapi berkongsi satu perkara yang sama iaitu, keberanian untuk bereksperimen. NMIXX kini membawa identiti mereka dari pentas K-pop ke dunia kecantikan selepas Lily, Haewon, Sullyoon, BAE, Jiwoo dan Kyujin diumumkan sebagai Global Ambassador terbaharu MAKE UP FOR EVER.
Bukan sekadar satu lagi kolaborasi K-beauty dan K-pop, pelantikan ini mencatat sejarah tersendiri buat MAKE UP FOR EVER. Menurut pengumuman jenama di Korea, NMIXX merupakan artis K-pop pertama yang dilantik sebagai Global Ambassador MAKE UP FOR EVER untuk pasaran global, bukannya hanya mewakili satu negara.
Pemilihan NMIXX juga terasa cukup kena dengan DNA jenama kecantikan profesional dari Perancis itu. Dikenali dengan kebolehan vokal, persembahan bertenaga serta identiti setiap anggota yang cukup berbeza, NMIXX dianggap selari dengan falsafah MAKE UP FOR EVER yang meraikan kreativiti dan kebebasan mengekspresikan diri.

Artist ColorGlow Lip Balm Jadi Permulaan
Kempen pertama NMIXX bersama MAKE UP FOR EVER memperkenalkan Artist ColorGlow Lip Balm, produk hibrid yang menggabungkan warna dan penjagaan bibir dalam satu sapuan.
Formulanya diperkaya dengan asid hialuronik, minyak biji blueberry dan peptida untuk membantu melembapkan, melembutkan serta memberikan penampilan bibir yang lebih penuh. MAKE UP FOR EVER turut mendakwa produk ini mampu memberikan hidrasi sehingga 24 jam berdasarkan ujian instrumen terhadap 30 individu.
Pilihan warnanya juga tidak terhad kepada rona selamat. Selain merah jambu dan nude, Artist ColorGlow turut bermain dengan warna lebih menyeronokkan seperti Festival Lilac yang mempunyai kilauan ungu dan biru serta Mermaid Blue, rona turquoise dengan kilauan biru.
Di Malaysia, Artist ColorGlow Lip Balm kini disenaraikan pada harga RM130, dengan beberapa rona termasuk Crystal, Dreamy Pink, Anywhere Caffeine, Festival Lilac dan Mermaid Blue.

Setiap Ahli Ada Pilihan Sendiri
Menariknya, personaliti setiap anggota turut diterjemahkan menerusi pilihan warna mereka. Dalam temu bual bersama Byrdie, Haewon memilih 606 Wherever Walnut kerana lebih menggemari gaya natural, sementara Sullyoon menyukai 808 Boundless Berry yang dipakainya ketika penggambaran kempen.
Kyujin pula memilih 600 Anywhere Caffeine, terutama kerana kemasan warna dan sedikit kilauannya. Bagi mereka, solekan bukan sekadar untuk kelihatan cantik tetapi satu lagi cara untuk menunjukkan sisi diri yang berbeza.
Malah, Lily berkongsi bahawa walaupun keenam-enam mereka diberikan konsep solekan yang sama, perincian kecil membolehkan setiap ahli menyerlahkan personaliti masing-masing. Jiwoo pula gemar mencuba pelbagai gaya rambut dan solekan sehingga kadangkala memberikan sendiri cadangan tentang look yang mahu dicuba.

Bukan Sekadar Kempen Lip Balm
Hubungan NMIXX dan MAKE UP FOR EVER nampaknya tidak terhenti pada Artist ColorGlow Lip Balm. Pada 18 September lalu, kesemua enam anggota turut hadir ke pop-up MAKE UP FOR EVER di Shinsegae Department Store Gangnam, Seoul bagi meraikan koleksi glow terbaharu jenama itu.
Selain Artist ColorGlow Lip Balm, acara tersebut turut mengetengahkan HD Skin Perfecting Glow Cushion, sekali gus memberikan gambaran bahawa kita mungkin akan melihat lebih banyak kempen kecantikan daripada NMIXX bersama MAKE UP FOR EVER selepas ini.
Bagi NMIXX sendiri, padanan ini cukup mudah untuk difahami. Seperti muzik dan persembahan mereka yang sentiasa berubah mengikut mood dan konsep, solekan juga memberi ruang untuk bermain dengan warna, tekstur dan identiti. Dan dengan enam personaliti berbeza dalam satu kumpulan, MAKE UP FOR EVER mungkin sudah menemui wajah yang tepat untuk meraikan kecantikan tanpa satu definisi sahaja.

Artikel Berkaitan: Bad Hair Day? Ini 5 Idea Gaya Rambut Yang Boleh Selamatkan Hari Anda
