Memang ada orang yang minatnya mengumpul palet solekan, tidak kiralah palet pembayang mata, pemerah pipi, gincu mahupun kontur. Saya percaya jika ada antara yang membaca ini gilakan palet mekap, Burberry Essentials Glow Palette ini mesti jadi produk mesti milik. Melihatkan warna-warna yang dipadatkan dalam satu bekas ini, saya percaya ia juga akan jadi kesukaan jurusolek selebriti.
Burberry memperkenalkan palet lengkap untuk calitan dan layangan untuk solekan yang berseri-seri. Palet ini disempurnakan dengan tiga pilihan produk yang disatukan untuk menghasilkan wajah yang lebih terletak dan terbentuk.
Jadi apa yang ada dalam palet ini? Ia mengandungi krim kontur dalam ton coklat gelap dan ada juga dalam bentuk bedak untuk hasil kontur yang lebih semula jadi. Teksturnya ringan dan teradun mesra pada kulit untuk hasil yang lebih glowing.
Palet ini turut dilengkapi dengan pemerah pipi yang dilengkapi dengan pigmen berkilau bagaikan mutiara dan ia hadir dalam dua ton yang boleh dicampur atau dilayang selapis warna sahaja.
Masakan akan lengkap palet kontur tanpa disertakan dengan penyerlah atau highlighter. Layangkan sedikit pada atas tulang pipi, tulang hidung, sedikit pada dahi dan dagu untuk bentuk wajah yang berdimensi. Burberry Essentials Glow Palette hadir dalam dua ton berbeza nutuk disepadankan dengan ton kulit anda.