Room 2, Chance de Chanel
Seiring dengan konsep haruman ini yang menceriakan, itu jugalah atmosfera yang diterapkan untuk kamar kedua ini. Interior Chane de Chanel bertemakan belakang pentas pertunjukan teater dan juga di satu sudut pula ada meja-meja permainan bak kasino. ‘Di belakang pentas’ itu juga kami disambut dengan pertunjukan silap mata. Permainan kad yang sangat licik, membuatkan kami yang tekun melihat terkesima. Magisnya betul-betul menjadi, bagaikan ada sihir melihatnya. Kad dari kosong bertukar penuh corak, dari kad yang berkeping-keping bertukar menjadi batu beku bak kristal.
Asma Nasa sempat membiarkan wajahnya dirias, jurusolek di kamar Chance de Chanel menyolek matanya, dan semestinya dari koleksi terbaur Chanel. Menghidupkan terjemahan suasana belakang pentas, beberapa penari beraksi bagaikan sedang berlatih balet, dan di sisi mereka bergantungan gaun tutu pastel. Lantas mengingatkan saya salah satu kempen Chance de Chanel. Kami sempat juga mencuba nasib dengan permainan kasino yang disediakan, tapi mungkin sebab tidak berapa mahir, jadi nasib tak menyebelahi.