Room 3, Bleu de Chanel
Dalam banyak-banyak bilik, hanya Bleu de Chanel sahaja yang ‘terbocor’ bagaimana rupanya apabila Park Seo Joon memuat naik gambar interior bilik di Instagramnya sehari sebelum saya ke sini. Dia mendapat slot eksklusif malah diterbangkan khas dari Korea untuk berkunjung ke acara ini.
Bleu de Chanel merupakan haruman lelaki paling ikonik di Chanel. Ia sebuah haruman maskulin era moden yang menjadi pilihan ramai. Kelalang bersegi biru gelapnya menonjolkan imej ringkas, moden namun masih eksklusif. Bilik Bleu de Chanel kental dengan imej lelaki maskulin moden bila mana bilik ini tampil ringkas dengan menyatukan elemen cahaya dan muzik. Para pengunjung berpeluang menjadi ‘DJ’ dengan menekan-nekan butang yang disediakan dan cahaya lampu akan berkelip-kelip mengikut rentak muzik. Saya sempat bereksperimen dan bermain dengan butang-butang ini, terasa bagaikan deejay pun ada.
Di sudut belakang saya didekatkan lagi dengan haruman ini, para petugas siap sedia dengan variasi bau Bleu de Chanel. Haruman ini di pasaran punya tiga varian berbeza, EDT, EDP dan Parfum. Pilihan saya semestinya edisi ‘parfum’, kerana baunya lebih pekat dan kuat.