Apalah ertinya musim bunga jika tidak diraikan dengan kemeriahan panca warna, begitu jugalah Chanel menerusi koleksi alat soleknya musim ini.
Mengamati pada warna pembayang mata, gincu dan juga pewarna kuku koleksi mekap musim bunga Chanel, saya fikir warnanya ‘sejuk’, serta membias mood romantis. Masakan tidak romantis jika warna seperti hujau pudina dan ungu antara yang tampak menyerlah pada pembayang matanya. Selain warna selamat seperti coklat, dua warna itu yang Chanel mahu wanita rayakan pada solekan mereka. Warna adalah salah satu cerminan pada stail, malah mungkin boleh dijadikan refleksi satu-satu era.
Ammy Drammeh, warga kerja Makeup Creation Studio and Cometes Collective berpendapat warna-warna yang Chanel sajikan musim ini adalah satu tanda kebebasan dalam merias wajah. Ada yang boleh digayakan kontra (colour-blocking) atau boleh juga ‘matchy-matchy’ warna senada.
Sekali lihat pada potret kempennya kita boleh simpulkan koleksi kali ini secara jelasnya menjadikan solekan bercahaya sebagai visi utama. Kemasannya nampak berseri disamping permainan ton pastel.
SOLEKAN MATA MUSIM BUNGA
Mix and match, koleksi kali ini hadir dengan empat pembayang mata yang punya pelbagai kemasan, seperti warna ungu, hijau pudina dengan kemasan yang berkilau, ton beige pusam dan merah jambu dengan kemasan satin. Pilihan warna dan kemasan ini andai digandingkan sekali akan menghasilkan solekan mata yang berdimensi.
Tidak cukup dengan pembayang mata sahaja, Chanel turut lengkapkan himpunan alat solek ini dengan celak mata bermacam warna. Stylo Yeux Waterproof kali ini datang dalam dua ton warna yang boleh dipadu-padan. Anda boleh memakai pembayang mata dan pensel mata dalam ton senada atau boleh dalam gandingan kontra.
Empat warna yang menjadi pilihan musim ini ialah merah-coklat (Brun Pourpre), ungu pusam (Mauve Intense), merah (Rouge Intense) dan hijau metalik (Vert Lagon).
LAYANGAN VERSATIL
Chanel melengkapkan koleksi ini dengan palet jumbo Jeux De Lumieres, lengkap dengan empat warna untuk menaikan seri solekan. Dalam tekstur ‘bedak’, palet ini dicipta teksturnya untuk dilayangkan pada pipi, mata atu mana-mana saja bahagian wajah untuk menyempurnakan solekan. Empat ton ini sangat universal dan sepadan dengan semua ton kulit.
Empat ton yang melengkapkan palet ini ialah Shimmery Pink Coral, Pink Gold, Shimmery Silver Pink dan Shimmery Coppry Gold.
ROUGE COCO BAUME
Koleksi salap bibir yang juga bertindak sebagai gincu ini semakin digemari. Tekturnya yang ringan dan selesa dicalit pada bibir, mampu mengekalkan penghidratan bibir sehingga 16 jam. Menariknya Rouge Coco Baume ialah anda boleh menentukan kepekatan warnanya pada bibir. Jika mahu ‘manis-manis’ sahaja, satu lapis calitan sudah cukup, dan jika mahu warnanya lebih pekat menyerlah, boleh sapu berlapis-lapis.
Musim bunga ini Chanel menambah enam lagi warna baru untuk menghangatkan lagi pilihan warna. Enam warna yang disajikan ialah Honey Bliss (warna karamel yang berkilauan), Tender Peach (koral dengan sentuhan pic), Cherry Burst (merah segar), Blushing Pink (merah samar), Raspberry Kiss (merah jambu pekat) dan Charming Lilac (ungu).
Tidak lupa, ada dua warna Le Vernis untuk kuku anda musim ini, iaitu Poete, pic lembut dan Artiste, warna hijau pastel.
Koleksi riasan wajah musim bunga 2025 ini sudah boleh dimiliki di pautan INI!