Bermula dengan Kate Moss untuk kempen debut, diikuti Keira Knightley, kini baton diberikan kepada penyanyi popular generasi baharu, Gracie Abrams. Coco Mademoiselle Crush Absolu baru-baru ini diraikan penuh kehangatan dalam satu pesta di kota Paris.
Pertengahan September lalu, panggung Le Trianon di Paris bagaikan bergegar dengan simbahan cahaya, mainan muzik dan kelibat fesyenista seluruh dunia. Ini semua dek penangan pelancaran Coco Mademoiselle Crush Absolu.
Malam penuh glamor itu telah menghimpunkan hampir 750 tetamu jemputan eksklusif bagi menghidupkan lagi vibes dan semangat kebebasan COCO MADEMOISELLE.
Antara barisan Friends of the House serta selebriti popular yang hadir memeriahkan karpet merah termasuklah Angèle, Honey Dijon, Bhavitha Mandava, Go Youn-Jung, Miu Natsha, Lena Lalina, Quenlin Blackwell, Lux Pascal, Jorja Smith, Guillaume Diop, dan bintang terkenal Asia, Mackenyu.
Amelia Henderson dan Timur Gabriel, dua figura popular yang mewakili Malaysia ke pelancaran ini. Masakan sempurna tanpa kehadiran bintang haruman ini sendiri, Gracie Abrams.
PUTARAN MUZIK TANPA HENTI
Suasana malam bermula puitis tetapi santai apabila Chassol, genius jazz moden dan master improvisasi muzik, membuka tirai acara dengan persembahan yang menggabungkan elemen puisi dan groovy.
Di sekelilingnya, barisan pelayan, bartender, Crush Tellers, dan Elixir Masters rancak mengajak tetamu menyelami kisah di sebalik haruman mewah ini menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan kejutan mini.
Seterusnya, pintu ballroom utama dibuka luas! Di dalam, temasya sudah rancak bermula. Gerak tari penuh energi, diiring pula lagu demi lagu yang menjadi santapan halwa telinga. Ritma disko, funk, dan elektro lantang berkumandang.
Breakbot memulakan hype malam itu dengan lagu remix ikonik Candi Staton, “Young Hearts Run Free”—yang juga merupakan runut bunyi rasmi untuk kempen Crush Absolu.
Seramai 30 penari profesional di bawah pimpinan koreografer terkenal, Sidi Larbi Cherkaoui, kemudiannya menghidupkan semula babak tarian magis daripada filem kempen tersebut secara langsung!
Kehangatan pentas diteruskan lagi apabila Honey Dijon, figura penting dalam dunia muzik house dan disko merangkap Friend of the House, mengambil alih dek bersama DJ terkenal Perancis, Chloé Caillet, untuk set back-to-back yang cukup luar biasa.
Tepat jam dua belas tengah malam, lampu kembali menyala menandakan tamatnya acara di kota Paris yang penuh keriangan itu. Namun bagi peminat tegar Chanel, penangan crush ini sebenarnya baru sahaja bermula!






